Kenapa Rakyat Malaysia Perlu Sedih Calon Presiden AS Kalah? – Hadi


KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kecewa kerana wujud sebilangan rakyat Malaysia yang bersedih kerana calon yang mereka minati tewas dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Tegas beliau, kedua-dua calon dalam pilihan raya itu Donald Trump dan Hillary Clinton berlumba-lumba membuat kenyataan terbuka menyokong Israel dengan pendekatan yang berbeza dalam pilihan raya tersebut.

“Tetapi masih ada dalam kalangan kita sudah lupa betapa konsep dan matlamat kedua-duanya sama sehingga ada yang bersedih kerana calon yang diminati kalah.

“Perbandingannya laksana buaya dan singa, kedua-duanya mengganas. Perbezaan singa mengaum dengan kuat, nyata dan menerpa secara terbuka. Ada pun buaya seperti kata pepatah Melayu ‘bagaikan air yang tenang jangan di sangka tiada buaya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Abdul Hadi mengingatkan Parti Demokrat dan Parti Republikan di AS semuanya terlibat dalam campur tangan yang menimbulkan ketegangan di seluruh pelosok dunia secara langsung atau tidak langsung melalui wakil mereka.

Kata beliau, tragedi pembunuhan yang mencecah jutaan mangsa korban dan menjadi pelarian dibenarkan atas nama mendokong kebebasan, demokrasi, keadilan dan hak asasi manusia.

“Namun, undang-undang antarabangsa dan mahkamah laksana sarang labah-labah yang boleh memerangkap makhluk kecil sahaja.

“Apa-apa tindakan pun tidak boleh di ambil ke atas AS dan sekutunya dan semua keputusan PBB boleh dihalang dengan mudah melalui kuasa vetonya,” kata beliau. – Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com