Kemalangan Terduduk Atas Bumbung Di Kulim Jadi Bualan


KULIM - Seorang penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah teksi di simpang Jalan BKE Lunas menjadi bualan orang ramai apabila terduduk di atas bumbung kenderaan tersebut.

Gambarnya yang sempat dirakam pengguna jalan raya turut menjadi viral di laman Facebook yang rata-rata menganggap kejadian itu sangat ajaib dan jarang sekali berlaku.

Menurut pemandu teksi, L Rajendran, 48 ketika itu dia dalam perjalanan menghantar penumpang ke Lunas dan sedang melalui lampu isyarat di situ apabila menunjukkan warna hijau.

"Kira-kira jam2 petang saya sedang menjalankan tugas untuk menghantar empat pelanggan ke Lunas dari Kilang Lama.

"Apabila lampu berwarna hijau saya meneruskan perjalanan, dan tiba-tiba saya juga terpandang sebuah motosikal yang ditunggang seorang wanita berusia lingkungan 50an dari Taman Kucai menghampirinya dengan begitu laju,"katanya.

Katanya, apabila bunyi dentuman kuat kedengaran dia memberhentikan teksi untuk melihat keadaan mangsa tersebut.

"Saya memang tak sempat nak menekan brek, dan sedar teksi telah terlibat kemalangan apabila terdengar bunyi dentuman kuat.

"Saya pun terus hentikan teksi untuk memeriksa keadaan sekeliling dan terus berlari mencari mangsa di bahagian depan dan belakang kenderaan namun tiada.

"Apabila melihat di atas bumbung, saya ternampak mangsa sedang terduduk dengan wajah yang agak terkejut, mangsa juga sempat mengeluarkan telefon bimbit untuk menghubungi saudara maranya," katanya.

Katanya, melihat keadaan tersebut dia terus mendapatkan mangsa dan bertanya keadaannya sebelum membantunya turun dan diletakkan ke dalam teksi.

"Terkejut juga saya, mangsa berada di atas  bumbung teksi, saya pun tak pasti macam mana dia boleh berada di situ. Saya bantunya turun daripada teksi sebelum menelefon ambulans dan pihak polis," katanya.

Menurutnya, dia juga berasa bersyukur apabila mangsa tidak mengalami kecederaan parah dan dapat bergerak.

"Saya bersyukur mangsa tak alami kecederaan parah, dan hanya mengadu sakit di tangan dan kaki akibat kemalangan tersebut. Kini dia dirawat di Hospital Kulim," katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com