Kelab Rotary Perlis Perlu Aktif Bantu Perkasa Pendidikan - Raja Muda


KANGAR – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar Kelab Rotary Perlis yang dihidupkan semula selepas 26 tahun aktif dalam bidang pendidikan terutama membantu pelajar daripada keluarga miskin.

Menurut baginda, pendidikan merupakan elemen penting untuk merubah generasi muda ke arah menuju negara maju dan berpendapatan tinggi.

“Pendidikan amat dekat di hati beta selain bencana atau musibah yang menimpa negeri dan rakyat,” titah baginda ketika berkenan merasmikan Charter Night kelab itu bertemakan ‘Night of Enchantment: A Musical Adventure’ di Dewan Sri Elham, Resort Tasik Tasoh di sini, malam semalam.

Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat sama ke majlis itu yang turut dihadiri lebih 300 tetamu yang mewakili 49 daripada 80 kelab rotary di seluruh negara termasuk wakil dari Bangladesh dan Thailand.

Majlis itu bertujuan meraikan penubuhan semula Kelab Rotary Perlis, pelantikan anggota jawatankuasa serta penyerahan sijil dan watikah pelantikan presiden baharu yang disempurnakan oleh Tuanku Syed Faizuddin.

Baginda juga berkenan menyaksikan majlis angkat sumpah dan penyerahan Rotary Induction Kits kepada presiden dan anggota jawatankuasa baharu kelab itu. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com