Kejadian Itu Berlaku Dalam Sekelip Mata...

Rakan-rakan yang turut menceritakan kejadian yang berlaku sehingga mengorbankan dua mangsa kelmarin.
PANTAI MERDEKA - Pemandu bot penampang dari Tanjung Dawai ke Pantai Merdeka mengakui tidak sempat menyelamatkan semua penumpang yang dibawanya dalam kejadian bot terbalik kira-kira jam 10.30 pagi, baru-baru ini.

Majjedi Abu Bakar, 38, berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kipas bot yang dipandunya terlanggar dan terbelit pada tali sebuah bot pukat tunda menyebabkan bot yang dipandunya terbalik mengorbankan dua pelancong.

“Lebih kurang tiga minit berlepas dari Jeti Tanjung Dawai, bot yang kami naiki untuk ke Pantai Merdeka terbalik.

“Sedar-sedar sahaja bot dah terlangkup dan semua penumpang berada di bawah bot,” katanya.

Menurut Majjedi, dalam keadaan cemas, dia cuba menyelamatkan penumpangnya selain dibantu rakan bot lain yang berada berdekatan.

“Masa tu tiga bot lain yang bergerak serentak membawa baki 32 penumpang turut berpatah balik untuk membantu kami.

"Seboleh-bolehnya saya nak selamatkan kesemua penumpang saya, namun apakan daya kudrat saya setakat itu sahaja dan sedih dengan apa yang berlaku,” katanya.

Majjedi yang berpengalaman tujuh tahun membawa pelancong dari Tanjung Dawai ke Pantai Merdeka masih trauma dengan kejadian berkenaan selain berdepan kerugian akibat kerosakan yang berlaku.

“Kemalangan maut depan mata sendiri sudah pasti satu pengalaman hitam yang sukar untuk dilupakan sampai bila-bila, sehingga hari ini masih trauma,” pengakuan beliau.

Dalam masa sama, dia turut kesal dengan laporan tidak tepat media tertentu yang mendakwa kejadian berlaku akibat tersangkut tali sauh dan sebagainya.

“Sepatutnya tali bot pukat tunda tidak boleh dibiarkan di kawasan terbabit kerana berisiko terkena pada bot penampang yang berulang-alik menggunakan laluan sama,” jelasnya.

Kelmarin, dua daripada 44 pelancong dari Kuala Lumpur yang mengikuti pakej pelancongan sedang menyeberang dari Tanjung Dawai ke Pantai Merdeka dilaporkan maut akibat bot yang dinaiki terbalik.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com