Kedah Cadang Baik Pulih Galeri Diilham Tun M

Mohd Rawi (tengah) bergambar bersama sebahagian pelukis dari Angkatan Pelukis Kedah (APK).
ALOR SETAR - Kerajaan negeri bercadang membaik pulih Muzium dan Galeri Ibrahim Hussain di Langkawi sebagai sebuah pusat pameran, jualan dan lelongan seni terkemuka dunia.

Exco Pelancongan, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, konsep seumpama berjaya melonjakkan Singapura sebagai pusat sehenti lukisan dan seni visual di rantau ini apabila menghimpunkan karya dari pelbagai negara.

“Singapura antara pusat jualan dan lelongan lukisan terkemuka himpun karya dari Malaysia, Indonesia dan Thailand, pelukis serata dunia bertumpu ke negara itu walaupun tidak memiliki alam semula jadi unik seperti negara kita,” katanya selepas merasmikan Pameran Bicara Lebuhraya di Muzium Kedah, baru-baru ini.

Menurutnya, konsep sama boleh diterapkan di Langkawi yang sudah memiliki tapak sesuai  menempatkan Muzium dan Galeri Ibrahim Hussain yang kini terbiar.

“Galeri yang terletak di Jalan Datai itu menghadap laut dan memiliki panorama menakjubkan namun suatu kerugian apabila tidak dimanfaatkan sepenuhnya dan dibiarkan terbengkalai selepas kematian  Ibrahim Hussain,” katanya.

Mohd Rawi berkata, pihaknya bercadang untuk menghidupkan semula galeri itu dan pada masa sama menjadikan ia sebagai produk pelancongan baharu Langkawi berasaskan lukisan.

“Tiada pihak yang ambil alih selepas itu dan amat dikesali apabila tempat itu di ceroboh dan sebahagian dirosakkan pihak tidak bertanggung jawab,” katanya.

Menurutnya, perbincangan telah diadakan bersama Perbadanan Menteri Besar (MBI) untuk menyiapkan kertas cadangan membaik pulih bangunan terbabit untuk ditransformasikan kepada sebuah produk pelancongan baharu.

“Saya harap MBI dapat melihat potensi mewujudkan sebuah pusat jualan dan lelongan seni dengan membuat penambahbaikan kepada tapak sedia ada, jika di luar kemampuan, kita serahkan kepada pihak yang memiliki kepakaran mengurus galeri,” katanya.

Mohd Rawi berkata, pusat itu diilhamkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kemungkinan mempunyai matlamat sama untuk muncul sebagai pusat pameran, jualan dan lelongan lukisan, namun tidak kesampaian.

“MBI sedang mengkaji prospek mewujudkan pusat sehenti itu untuk menghimpunkan karya tempatan mahupun dunia. Saya yakin dengan adanya kerjasama kerajaan negeri, Kementerian Pelancongan dan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), hasrat itu dapat direalisasikan,” katanya.

Menurutnya, kita wajar mencontohi negara Barat seperti Itali, Perancis dan Belanda yang menghargai hasil karya sejarah sehingga nilainya melonjak selepas dijadikan produk pelancongan. 

“Ibrahim Hussain meninggal dunia hampir 10 tahun, namun miliki peminat tersendiri dan kita boleh mulakan dengan himpunan karya beliau kerana namanya masyhur di peringkat antarabangsa,” katanya.

Mohd Rawi berkata, penganjuran Langkawi Art Biennale kali kedua yang berlangsung di Langkawi sehingga 23 November ini boleh menjadi pencetus kepada usaha itu.

“Kita jemput pelukis antarabangsa berkampung di Langkawi, di mana mereka meninggalkan sebahagian karya untuk diabadikan di situ, bagi membolehkan kita himpunkan lukisan bertaraf dunia tanpa kos tinggi,” katanya.

Penganjuran juga lebih berimpak tinggi dengan adanya galeri seumpama sebagai pusat sehenti untuk menempatkan lukisan berkenaan yang bakal diserahkan sebagai khazanah kerajaan negeri.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com