Kapasiti Lapangan Terbang Langkawi Akan Dipertingkat - LADA


LANGKAWI – Kapasiti prasarana di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi akan dipertingkatkan lagi bagi menampung pertambahan jumlah pelancong yang mengunjungi pulau ini, kata Pengerusi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Johari Abdul Ghani.

Katanya jumlah pelancong ke Langkawi telah mencecah 3.6 juta orang tahun lepas dan angka ini dijangka akan meningkat lagi tahun ini yang memerlukan kemampuan lapangan terbang itu ditambah lagi.

“Sebagai Pengerusi LADA, saya akan memastikan Langkawi akan mendapat peruntukan yang mencukupi untuk menambahkan lagi kapasiti lapangan terbang ini,” katanya semasa merasmikan pembukaan Pesta Sukan Kementerian Kewangan (PSKK) ke-42 di sini malam semalam.


Johari yang juga Menteri Kewangan II juga berkata beberapa buah jeti utama yang menjadi pintu keluar masuk pelancong ke pulau ini dan pulau-pulau yang berdekatan juga akan diperbaiki bagi tujuan yang sama.

“Sebanyak 14 tapak tanah juga telah dikenal pasti dan akan dipromosikan khususnya kepada pelabur-pelabur antarabangsa bagi pembangunan infrastruktur pelancongan,” katanya.

Menyentuh mengenai PSKK, Johari berkata pesta sukan yang bermula sejak 1974 ini bermatlamat untuk memupuk semangat kerjasama antara kesemua agensi di bawah Kementerian Kewangan demi memastikan kelancaran perancangannya.

“Perancangan ini bukan sahaja memerlukan penjawat yang berkelayakan dan berkemahiran tetapi juga sentiasa sihat dan cergas agar mampu menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya.

Lebih 2,300 anggota dari 13 buah agensi di bawah kementerian itu mengambil bahagian dalam pesta sukan selama seminggu yang melibatkan 12 jenis acara sukan. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com