"Kantoi" Naik Motorsikal Curi Di Alor Setar

Anggota polis memeriksa motosikal disyaki dicuri. - Foto: Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah
ALOR SETAR - Seorang remaja lelaki berusia 12 tahun dicekup selepas didapati menaiki motosikal curi dalam Ops Samseng Jalanan Kota Setar dan Ops Bersepadu Pencegahan Jenayah, semalam.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Superintendan Zahari Mohamed berkata, remaja itu antara dua individu yang ditahan kerana dipercayai menunggang dan membonceng motosikal curi.

“Dalam operasi selama lima jam berakhir jam 6 pagi itu, dia bersama seorang rakan ditahan selepas polis menjalankan pemeriksaan ke atas motosikal terbabit.

“Hasil pemeriksaan melalui sistem kompol, polis mendapati motosikal jenis Honda Wave itu merupakan kenderaan dilaporkan dicuri pada 8 September lepas,” katanya.

Zahari berkata, seorang lagi suspek berusia 18 tahun turut disahkan positif dadah jenis amphetamine.

Susulan itu katanya, kedua-dua suspek yang merupakan rakan sekampung dari Teluk Chengai, Jalan Kuala Kedah, ditahan di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan untuk membantu siasatan.

Turut ditahan, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dari Anak Bukit, yang didakwa menunggang motosikal secara berbahaya dalam operasi disertai seorang pegawai dan 14 anggota polis itu.

"Kita mengeluarkan 55 saman melibatkan 63 kesalahan melalui pemeriksaan ke atas 100 motosikal dan 33 kereta itu. Antara kesalahan dikesan termasuk memandu tanpa lesen, tiada cermin sisi, mengubah suai motosikal dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

"Kita turut menyita enam kenderaan iaitu lima motosikal dan sebuah kereta, yang didakwa tidak mempunyai cukai jalan," katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com