Jumlah Banduan Di Penjara Malaysia Sudah Lebih Kapasiti


KUALA LUMPUR – Jumlah banduan di penjara seluruh Malaysia melebihi 6,292 orang daripada kapasiti yang mampu ditampung Jabatan Penjara iaitu seramai 45,310 orang.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat semalam berkata sehingga 4 Okt 2016, jumlah banduan yang berada di penjara adalah 51,602 orang.

Menurut kementerian, antara tindakan yang diambil Jabatan Penjara bagi menangani situasi itu adalah memindahkan banduan daripada penjara yang sesak ke penjara tidak sesak serta mengubahsuai penjara sedia ada bagi menampung kapasiti banduan yang semakin meningkat.

Kementerian itu menjawab pertanyaan N. Surendran (PKR-Padang Serai) berhubung jumlah terkini banduan dalam penjara di seluruh negara.

Kementerian itu berkata Jabatan Penjara turut menggiatkan pelaksanaan Sistem Parol, Perintah Kehadiran Wajib dan Pusat Pemulihan Pemasyarakatan yang melibatkan 38,391 banduan menjalani pemulihan di luar penjara.

“Keberkesanan pemulihan dan latihan bagi mengurangkan kemasukan semula banduan ke penjara selepas dibebaskan juga dipertingkatkan,” menurut KDN. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com