Juan Martin Lucero Kini Bernilai RM11.49 Juta - TMJ

KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) membelanjakan AS$1.4 juta atau kira-kira RM6 juta sewaktu mahu mendapatkan pemain importnya, Juan Martin Lucero.

Tunku Ismail berkata, Lucero yang masih muda dan beraksi cemerlang membantu JDT mengharungi Liga Malaysia dan kejohanan antarabangsa kini bernilai 2.4 juta euro atau kira-kira RM11.49 juta.

Kata baginda, perkembangan itu menunjukkan JDT satu-satunya kelab di Malaysia dengan rancangan untuk meningkatkan status kewangan bagi mengekalkan kelab itu untuk tempoh 20 tahun akan datang.

“JDT adalah satu-satunya kelab dengan rancangan untuk meningkatkan status kewangan kami bagi mengekalkan kelab ini untuk 20 tahun akan datang dan terus berusaha untuk bertambah baik setiap tahun.

“Di JDT, kami menandatangani pemain berharga yang berpotensi untuk dijual. Pesaing kami masih lagi membeli pemain-pemain yang tiada harga di Asia dan di luar Asia,” kata baginda dalam satu kenyataan semalam.

Tunku Ismail dalam pada itu berkata, pesaing JDT di Malaysia masih bergantung kepada dana kerajaan dengan pelan jangka pendek dan meletakkan persaingan domestik sebagai penanda aras.

Baginda menerangkan, kejayaan JDT berada dalam pertandingan antarabangsa yang diiktiraf di peringkat global mengekalkan reputasi dan kewangan kelab itu sekali gus membuka pintu untuk tawaran kerjasama yang akan membawa kepakaran asing dan meningkatkan inovasi pasukan.

“Malangnya di sini, mentaliti rakyat Malaysia adalah berjuang untuk merebut Piala Malaysia. Bagaimana Piala Malaysia akan membantu saya di peringkat global? Di mana ia akan membawa saya? Jawapan yang jelas saya terima “Tetapi Piala Malaysia sebuah piala yang berprestij”.

“Saya memberitahunya saya tidak mengatakan bahawa ia bukanlah tidak berprestij, saya cuma katakan bagaimana ia akan membantu saya dari segi kewangan dan bagaimana ia akan mewujudkan kesedaran global?,” kata baginda. – Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com