Jual Album Nasyid Kumpul Dana Rumah Anak Yatim Di Kuala Ketil

Sham Malau (kiri), Mohamad Rosli dan setiausaha Rumah Anak Yatim/ Miskin Darul Aitam menunjukkan album tersebut
KUALA KETIL - Pengurusan Rumah Anak Yatim Miskin Darul Aitam di Kampung Kuala Samak, di sini, menyasarkan jualan sebanyak 10,000 album nasyid bagi pembangunan asrama penghuni di situ.

Pengurusnya, Mohamad Rosli Yahaya berkata, album kumpulan Sinar Kasih dianggotai lima penghuni rumah tersebut dijual pada harga RM15 setiap satu.

Katanya, hasil keuntungan akan disalurkan kepada pembangunan asrama yang menelan kos RM80,000.

“Kami begitu memerlukan asrama bagi kegunaan 12 penghuni, yang kini ditempatkan di sebuah penempatan sementara. Kami turut menerima 16 permohonan penghuni baru, tetapi terpaksa tolak sebab tiada asrama.

"Penempatan sementara juga sempit dan tidak mampu beri keselesaan kepada penghuni. Mereka terpaksa berhimpit dengan barang keperluan lain disumbangkan orang ramai dan tidur di atas lantai,” katanya, kelmarin.

Tambah Mohamad Rosli, semua penghuni berusia 4 hingga 15 tahun termasuk seorang kanak-kanak perempuan itu ditanggung sepenuhnya pihak pengurusan.

Justeru katanya, orang ramai diharap dapat memberikan sokongan kepada jualan album tersebut.

“Seramai 11 penghuni di sini merupakan murid sekolah rendah, sementara seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun akan dihantar ke tadika tahun depan. Yuran pengajian dan makan minum mereka dianggarkan RM4,000 sebulan.

"Penerbitan album sulung berjudul Indahnya Ciptaan Tuhan ini bukan untuk meraih populariti, sebaliknya cara ini lebih baik daripada membiarkan penghuni mengusung tabung derma. Dengan jualan album ini, masyarakat bukan saja dapat menyumbang, tetapi turut memperoleh produk bermanfaat untuk diri dan keluarga,” katanya.

Sementara itu, komposer, Noor Sham Che Ros atau lebih dikenali sebagai Sham Malau berkata, lapan lagu nasyid mengandungi koleksi doa harian dimuatkan dalam album tersebut, yang berkonsepkan lagu bercirikan Timur Tengah.

“Ia sesuai didengari semua lapisan masyarakat. Menariknya, album ini turut menarik minat orang India dan Cina. Kurang sebulan album ini dikeluarkan, hampir 2,000 keping sudah terjual,” katanya.

Bagi sesiapa yang berminat, album tersebut boleh didapati di lelong.com ataupun terus menghubungi 019-5976297 (Mohamad Rosli) untuk maklumat lanjut.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com