Johor Seragamkan Kemeja Kokurikulum Sekolah


BAGI memperkasakan jati diri dan mewujudkan identiti, semua sekolah di negeri Johor akan menyeragamkan pemakaian kemeja T untuk aktiviti kokurikulum bermula tahun depan.

Perkara tersebut diumumkan selepas satu surat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor dimuat naik dalam laman sosial.

Dalam surat yang bertarikh 19 Oktober 2016 itu, Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Shaharudin Sharif menjelaskan pihaknya berhasrat untuk melaksanakan program Karakter Murid Johor (KrMJ) bermula pada tahun hadapan.

Menurutnya, semua sekolah di negeri itu digalakkan bersama-sama menjayakan program tersebut melalui pemakaian kemeja dalam sebarang aktiviti yang dijalankan di sekolah.

“Pemakaian kemeja yang reka bentuknya berasaskan warna negeri Johor adalah satu insiatif bertujuan mewujudkan keseragaman berpakaian dalam kalangan murid sekolah.

“Tiada paksaan perlu dilakukan dalam menjayakan pemakaian kemeja T ini,” katanya.


Jelasnya, pihak sekolah boleh menempah kemeja T tersebut pada syarikat yang menyediakan perkhidmatan bekalan pakaian, namun ia perlu mematuhi prosedur yang sedia ada.

Corak dan reka bentuk kemeja itu telah diluluskan Majlis Mesyuarat Tertinggi Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan ia boleh dimuat turun menerusi laman web JPN Johor.

“Semoga keseragaman berpakaian ini akan dapat mewujudkan identiti karakter murid Johor yang boleh dibanggakan,” katanya.

Rakyat Johor nampaknya menyambut baik idea penyeragaman kemeja ini dan menganggap ianya seperti warna jersi pasukan kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Difahamkan, baju tersebut dijual pada harga RM17 untuk murid sekolah rendah dan RM23 untuk pelajar sekolah menengah. –Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com