Johan As’ari Mengaku Sedang Bercinta Dengan Pelakon Wanita


SETELAH gagal dengan beberapa siri percintaan, pelakon Johan As’ari akui sudah menemui pengganti hatinya yang juga merupakan seorang pelakon wanita.

Pun begitu, pelakon yang terkenal menerusi drama Juvana ini belum sedia mendedahkan identiti kekasih hatinya itu.

Kata Johan, 30, dia dengan pelakon itu mula rapat sejak tahun lalu.

Menurutnya, pelakon itu juga mengenali keluarganya dan mereka sudah merancang untuk ke fasa lebih serius.

“Saya menghormatinya sebagai wanita jadi tak manis untuk terlalu terbuka bercerita mengenai perkara ini. Apatah lagi hubungan kami baru lagi. Pada masa sama kami masih dalam proses mengenali hati budi.

“Tak dinafikan saya selesa berkawan dengannya. Malah dia juga mengenali dan rapat dengan keluarga saya,” katanya, memetik Harian Metro.

Tambah Johan, dia akan berkongsi mengenai hubungan cintanya itu sekiranya ada khabar gembira.

Sementara itu, Johan menafikan menjalinkan hubungan cinta dengan Wan Sharmila seperti heboh diperkatakan di internet sebelum ini.

Terdahulu, Johan pernah dikaitkan dengan beberapa selebriti tanah air antaranya, Lana Nodin, Shila Amzah, dan Izreen Azminda. – Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com