Jihad Ilmu Umat Islam Menuju Ke Arah Negara Maju


ILMU merupakan landasan untuk mencapai kejayaan. Tanpanya, individu, masyarakat, bangsa dan negara akan mundur serta bakal ketinggalan dalam semua bidang. Oleh demikian Islam telah mewajibkan seluruh umatnya agar menuntut ilmu untuk mencapai kejayaan hidup dunia dan akhirat.

Dalam konteks keperluan negara hari ini, kita amat memerlukan modal insan sebagai seseorang yang bukan sahaja mempunyai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, namun ia juga mencakupi aspek peribadi serta akhlak tinggi yang perlu hadir dalam setiap jiwa individu.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Mujadalah ayat 11:
“Wahai orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain), maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (serba-serbinya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan orang yang beriman antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.”
Memenuhi aspirasi ayat ini, dalam Bajet 2017 lalu, Kerajaan menzahirkan kesungguhannya meningkatkan syiar Islam dengan peruntukan RM30 juta kepada sekolah tahfiz, sekali gus melahirkan generasi berpengetahuan seimbang dari aspek duniawi dan ukhrawi. Langkah ini selari dengan usaha merealisasikan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) untuk memenuhi tuntutan Islam melahirkan generasi ulul albab.

Sumbangan besar ini bakal menjelaskan hala tuju negara ke arah memastikan institusi pendidikan tahfiz al-Quran terus subur. Sekali gus mendorong hasrat melahirkan lebih ramai huffaz menerusi sistem pendidikan komprehensif.

Semoga, bajet ini menjadi penggerak yang mampu mengangkat martabat Islam di negara ini dan persada antarabangsa serta memelihara kesucian agama di samping menolak tohmahan serta fitnah golongan ekstremis terhadap Islam.

ISLAM PENYULUH HIDUP

Sejak merdeka hingga kini, banyak usaha dilaksanakan kerajaan dalam menyediakan prasarana ilmu agama dari peringkat prasekolah hingga peringkat institusi pengajian tinggi. Dengan peruntukan yang diberi, hasrat bagi menyelaraskan pendidikan tahfiz agar mencapai tahap persekitaran pembelajaran kondusif di seluruh negara akan dapat dicapai.

Tidak dilupakan, institusi pondok berdaftar turut mendapat pembelaan sama bagi membangunkan dan menyelenggara fasilitinya dengan peruntukan RM50 juta.

Tambahan itu, sokongan turut diberikan kepada seluruh guru Kelas Agama Fardu Ain, imam, bilal dan siak masjid/surau yang telah mendidik anak-anak kita sejak kecil sehingga boleh mengenal dan membaca al-Quran. Anak-anak penentu masa hadapan negara ini, dilentur daripada rebungnya agar berupaya mengintegrasikan tamadun dan ilmu wahyu.

Pada masa sama, kita perlu menggunakan ilmu tadi sebagai pemangkin pengurusan kewangan yang baik dan teratur.

Dalam suasana ekonomi sekarang, ada kalangan masyarakat mendapat tekanan hidup dan berada dalam keadaan sengsara angkara masalah kewangan dihadapi. Sesungguhnya, derita kewangan akan menjejaskan bukan sahaja reputasi diri, juga gangguan emosi termasuk kesihatan dan kestabilan emosi.

Diharapkan dengan ilmu itu juga, dapat mengawal akhlak daripada membangkitkan pelbagai isu kontroversi yang sering menjadi perhatian dan perbualan hangat masyarakat.

Lebih menyedihkan, penyebaran isu itu menyebabkan kegelisahan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam apabila disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan fakta tidak diketahui kebenarannya seperti isu halal dan sebagainya.

Islam telah memberi garis panduan bahawa setiap perkara yang diragui statusnya hendaklah dirujuk terus kepada pakarnya.

Firman Allah SWT dalam Surah an-Nahl ayat 43:
“Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dalam kalangan orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”
Dalam hal ini, Dr. Yusof Qaradhawi dalam bukunya, Halal dan Haram menyatakan bahawa Islam menyamakan orang yang mengharamkan yang halal dan sebaliknya seperti mensyirikkan Allah SWT. Justeru, sebagai pengguna yang berilmu dan bijaksana, kita perlu mendapatkan pengesahan daripada pihak mempunyai bidang kuasa agar tidak mengeruhkan keadaan.


BIMBINGAN

(Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)

Islam sebagai panduan hidup, menyeru agar membina kehidupan di dunia ini dengan nilai ilmu, iman dan ketakwaan kepada Allah SWT. Bagi menyusun agenda ini, maka pendidikan Islam perlu diselaraskan agar lebih teratur dan bersistematik serta dapat terus memperkembang syiar Islam pada landasan betul.

Ilmu pengetahuan adalah jambatan untuk mencapai kejayaan hidup dunia dan akhirat.

Pengguna bijak sentiasa mengamalkan tabayyun bagi mengelakkan terjadinya fitnah.

Amalan prinsip wasatiyyah berasaskan fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah melahirkan kekuatan kepada ummah, negara.
“Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Surah al-Hujurat: 6)
Dalam Bajet 2017, kerajaan memperuntuk RM50 juta untuk pondok berdaftar, RM30 juta untuk menyelaraskan pendidikan tahfiz melalui DPTN, kenaikan elaun guru KAFA sebanyak RM100 iaitu dari RM800 kepada RM900.

Sumber: Utusan

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com