Jersi Tiruan Baru Harimau Malaysia Antara Dirampas Di Padang Besar


KANGAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis merampas 418 unit jersi tiruan pelbagai jenama bernilai RM16,720 dalam pemeriksaan berkala di sebuah premis di Arked Niaga Padang Besar di sini semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Jamal Nor Ahmad Harun berkata daripada jumlah itu, sebanyak 282 unit ialah jersi terbaharu Skuad Harimau Malaysia keluaran jenama pakaian sukan terkemuka, Nike, yang baru dilancarkan semalam menjelang kejohanan Piala AFF Suzuki 2016 akan datang.

Katanya pemeriksaan itu berdasarkan aduan daripada pemilik syarikat cap dagangan, pakaian sukan berjenama Nike, New Balance, dan Puma yang mendapati ada pihak lain menjual jersi menggunakan jenama syarikat berkenaan.

“Difahamkan jersi baharu skuad bola sepak negara itu sudah lama dicetak di negara jiran untuk dibawa masuk ke Malaysia, cuma menunggu masa dilancarkan kerana permintaan sudah pasti hangat,” katanya kepada pemberita di pejabat KPDNKK Perlis di sini.

Jamal Nor berkata selain itu 86 unit jersi bola sepak jenama Puma dan 50 unit jenama New Balance turut dirampas.

Beliau berkata jersi-jersi yang ditiru rekaannya hampir 90 peratus itu dijual pada harga lebih murah iaitu antara RM40 hingga RM60 berbanding RM289 bagi sehelai jersi asli.

“Dengan kehangatan aura skuad Harimau Malaysia tidak mustahil produk tiruan jersi ‘home’ iaitu warna hitam serta kuning dan jersi ‘away’ berwarna putih digarisi dengan warna biru di bahagian dalam menjadi rebutan,” katanya.

Peniaga terbabit disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b)Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 bagi setiap unit barangan yang disita dan penjara tiga tahun atau kedua-duanya. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com