Jentera Penerangan UMNO Sebar Jihad Kebenaran, Perangi Politik Kebencian


KUALA LUMPUR – Jentera penerangan UMNO bertanggungjawab menggerakkan gelombang jihad kebenaran bagi memerangi sentimen politik kebencian yang disebarkan pihak tertentu terhadap parti itu.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata ketua penerangan di setiap cawangan, bahagian mahupun negeri perlu berada pada saf hadapan untuk menegakkan kebenaran dalam mempersiapkan diri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

“Kita perlu wujudkan gelombang ini secara gerakan besar-besaran bagi memerangi politik fitnah, kebencian dan berpecah-belah yang cuba dilancarkan pihak musuh.

“Saya mahu jentera penerangan menzahirkan satu semangat juang parti yang tinggi. Istilah jihad ini saya gunakan kerana ia satu pekerjaan murni untuk menentang fitnah, kepalsuan dan politik kebencian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Konvensyen Penerangan Media sempena Perhimpunan Agung UMNO ke-70 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Annuar berkata melalui konvensyen yang pertama kali diadakan itu, pihaknya akan membincangkan strategi yang akan dibentuk oleh setiap anggota penerangan dalam menjelaskan kebenaran kepada rakyat.

Bagi menghubungkan jentera penerangan dengan kepimpinan parti, Annuar berkata satu aplikasi mudah alih dikenali sebagai ‘Malaysia4All’ telah dilancarkan pada Oktober lepas untuk menangkis segala fitnah terhadap kerajaan.

Aplikasi yang kini dimuat turun lebih 20,000 kali itu dibuka kepada semua anggota UMNO untuk digunakan sebagai platform menyebarkan maklumat yang boleh dipercayai kepada orang ramai melalui media sosial seperti Facebook dan Twitter.

“Satu hari empat kali saya akan berhubung dengan jentera penerangan lain melalui aplikasi ini untuk memanjangkan berita mengenai parti kita sekali gus viralkan kebenaran.

“Kita juga berazam untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan terutamanya Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi memperhebatkan lagi gerakan untuk menyampaikan maklumat benar ini,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar berkata siri jelajah ke universiti dan institusi pendidikan di seluruh negara akan diadakan bermula 18 Disember ini untuk memberi penerangan dan mendengar sentuhan hati, aspirasi serta ketidakpuasan hati golongan muda melalui komunikasi dua hala. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com