Jangan Risau, Tender Hospital Pendang Akan Keluar Pada Mac 2017 - Exco


ALOR SETAR - Tender pembinaan hospital baru di Pendang dijangka akan dibuka pada bulan Mac tahun depan bagi merealisasikan keperluan rakyat di daerah berkenaan yang sebelum ini terpaksa ke Hospital Sultanah Bahiyah yang agak jauh dari daerah tersebut.

Exco Kesihatan Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Dr. Leong Yong Kong menegaskan bahawa hospital tersebut akan tetap dibina dan kerajaan negeri komited untuk meneruskan projek berkenaan demi rakyat.

"Kalau ikut jawapan yang kita dapat dari pihak pelaksana projek iaitu JKR, tender akan dikeluarkan pada bulan Mac tahun depan.

"Projek hospital ini akan tetap dilaksanakan," tegas beliau, mengulas mengenai keresahan rakyat di daerah itu yang tidak sabar untuk mempunyai hospital di daerah mereka.

Jelas Dr Leong, bajet awal yang diluluskan bagi pembinaan hospital tersebut adalah RM200 juta.

Namun begitu katanya, bajet sebenar untuk membina hospital berkenaan yang dibuat oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) adalah RM260 juta, lebih RM60 juta dari peruntukan yang diluluskan sebelum ini.

Justeru itu projek berkenaan tergendala sebentar sebelum ini di mana JKR perlu mengemukakan anggaran sebenar berhubung peruntukan awal dari Kerajaan Persekutuan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk dimuktamadkan.

"Maksudnya projek ini akan diteruskan, akan dilaksanakan. Kita tak perlu bimbang, cuma kita hanya perlu muktamadkan jumlah belanja sebenar yang diperlukan untuk membina hospital tersebut," katanya ketika ditemubual Kedahnews.com di lobi Sidang Dun Kedah di sini, hari ini.

Pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Pendang 2002 diumumkan buat pertama kali oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu merupakan Perdana Menteri, namun ia dianggap sebagai "gula-gula politik" oleh PAS kepada rakyat.

Kemudian, projek pembinaan hospital di Pendang telah diumumkan secara rasmi pada Rancangan Malaysia ke-10 (RMK 9) oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, namun terpaksa ditangguh buat sementara waktu ekoran kekangan kewangan.

Namun projek berkenaan diumumkan semula oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada RMK ke-11 yang lalu, sekaligus mengembalikan sinar harapan bagi rakyat di Pendang untuk mempunyai sebuah hospital di daerah tersebut. - Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com