Jangan Mudah Terpedaya Hanya Kerana Guna Nama "Islam"


SEKALI lagi rakyat Malaysia khususnya sebahagian orang Melayu terpedaya dan tertipu dengan skim cepat kaya. Kali ini lebih menarik kerana namanya ‘Islamic Hotel’.

Skim itu tidak ada bezanya dengan skim cepat kaya yang pernah wujud sebelum ini tetapi disebabkan ada nama Islam dan didakwa pula ada kaitan dengan Mekah maka ramai yang terpesona. Kesudahannya yang kaya orang lain, yang merana orang lain.

Sebenarnya sejak skim ini wujud, penulis menerima ajakan daripada beberapa rakan-rakan, tetapi penulis tidak berminat, walaupun ada antara mereka bercakap soal keberkatan kerana skim itu kononnya melibatkan pajakan hotel di Mekah.

Tetapi penulis tidak percaya kerana mana mungkin ada satu skim pelaburan yang boleh memberikan pulangan lumayan dalam masa singkat. Kalau ada skim seumpama itu bak kata orang, pasti ramai yang tidak payah bekerja, cari modal untuk melabur dan setiap bulan tunggu sahaja pulangannya.

Bagaimanapun ramai dalam kalangan orang Melayu yang masih percaya. Oleh kerana ingin kaya cepat dan mahu hidup mewah, maka mereka sudah tidak fikir kesan jangka masa panjang, apatah lagi skim itu ada pula perkataan ‘Islam’ dan ‘Mekah’.

Penulis difahamkan ramai yang ‘terduduk’ apabila mereka mengetahui skim tersebut hanyalah satu penipuan. Ada yang sampai jatuh sakit maklumlah pelaburan yang dibuat bukanlah sedikit sebaliknya melibatkan puluhan ribu ringgit manakala ada sehingga RM200,000.

Tetapi apa boleh buat mereka yang memilih jalan tersebut, walaupun pihak polis sudah berkali-kali mengingatkan bahaya skim pelaburan seumpama itu, namun sebahagian orang Melayu seolah-olah tidak pernah dan tidak akan serik.

Bayangkan mereka boleh mempertaruhkan wang mereka kepada satu pelaburan melalui ejen atau wakil tanpa hitam putih, maknanya kalau berlaku sesuatu mereka tidak boleh menuntut apa-apa, tetapi disebabkan kononnya mahu mencari keberkatan de­­ngan melabur di Ta­nah Suci Mekah, maka perbuatan yang ‘dianggap bodoh’ itu dilakukan.

Apa yang paling malang, ada pula orang Melayu yang sanggup memperdayakan orang Me­layu lain dengan menjadi ‘ejen’ kepada skim pelaburan tersebut. Bagi penulis, orang seperti ini tidak bertanggungjawab dan menanggung dosa kerana mengajak orang terlibat dalam satu skim yang meragukan. Dalam Islam perkara yang me­ragukan adalah haram dan harus ditinggalkan.

‘Ejen’ inilah bertanggungjawab menyebabkan ribuan orang sengsara dan tertipu. Mereka memainkan peranan untuk mempromosikan skim haram tersebut melalui hujah-hujah yang kalau orang dengar ‘boleh meleleh air liur’.

Sepatutnya pelabur-pelabur yang terpedaya memburu ejen-ejen tersebut dan menuntut mereka membayar ganti rugi kerana merekalah yang bertanggungjawab mempromosikan skim itu. Paling tidak pun buatlah laporan polis supaya ejen terlibat didakwa bersubahat mempromosikan ‘satu penipuan’.

Kini skim itu ‘sudah runtuh’ mengikut kenyataan polis, lebih 150,000 individu di negara ini dipercayai terjerat dan melibatkan kerugian mencecah RM450 juta. ‘Tahniahlah’ kepada orang Melayu yang sudah tentu ada sebahagian besar mereka mengeluh kos sara hidup meningkat tetapi pada masa sama sanggup ‘memperjudikan’ wang simpanan mereka untuk skim tipu seumpama itu.

Hakikatnya, kita sudah tidak tahu apa lagi nasihat yang mahu diberikan kepada sebahagian orang Melayu, cuma boleh menyatakan cukup-cukuplah memperbodohkan atau memperdayakan diri dengan skim seumpama itu. Dalam Islam, perkara yang meragukan adalah haram dan harus ditinggalkan.

Malangnya, sebahagian orang Melayu sudah menjadi tamak, mahu hidup mewah dan menambah pendapatan melalui skim cepat kaya, tetapi akhirnya mereka bagaikan dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Dari segi penguatkuasaan pula, seperti mana kata satu sumber, adalah wajar kes seumpama ini dikendalikan oleh satu gabungan agensi yang melibat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Sekuriti, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta beberapa agensi lain.

“Lupakan dulu soal bidang kuasa siapa patut menyiasat, sebaliknya tumpu kepada usaha pencegahan kerana itu le­bih baik daripada habis punah baru hendak bertindak,” kata sumber berkenaan ketika dihubungi.

Selain itu, masanya sudah tiba untuk kerajaan memikirkan penggubalan undang-undang bagi mengenakan hukuman lebih berat kepada penganjur-penganjur skim cepat kaya yang sememangnya berhasrat untuk menipu orang ramai. Kalau mereka tahu skim itu boleh mendatangkan kekayaan berlipat ganda, kenapa perlu mengajak orang lain, lebih baik kayakan diri sendiri sahaja.

Tidak usahlah berhujah kononnya untuk membahagi-bahagikan rezeki atau kekayaan, semua itu hanyalah hujah untuk menipu orang. Sekarang apa yang berlaku si penganjur mengaut kekayaan manakala si pelabur ‘menangis tak berlagu’.

Dalam keadaan sikap sebahagian orang Melayu mahu hidup mewah dan kaya cepat tanpa perlu berbuat apa-apa maka penganjur (penipu) skim cepat kaya sentiasa merasakan mereka ada peluang untuk melakukan penipuan.

Atas sebab itulah undang-undang perlu diperketatkan dan hukuman lebih berat diperuntukkan agar memberi amaran kepada golongan seumpama itu supaya jangan mencari kekayaan melalui cara haram dan pada masa sama memberi peringatan kepada orang Melayu, bahawa tidak mudah untuk kaya kecuali berusaha dengan tulang empat kerat dan akal yang diberikan oleh Allah SWT.

Ingatlah, janganlah terpedaya dengan sesetengah perkara atau aktiviti yang dikaitkan dengan Islam, Mekah mahupun Madinah, memandangkan itulah ‘senjata’ yang akan digunakan oleh sesetengah pihak bagi menipu orang Melayu. Jadikanlah ‘Islamic Hotel’ sebagai pengajaran kerana tidak semua yang menggunakan nama Islam itu betul seperti mana kegilaan puak militan ‘Islamic State’.

Sumber: Utusan

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com