"Janda Tak Seksi" Umum Akan Bertanding Pada PRU Ke-14


KUALA LUMPUR - Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali pada Khamis mengumumkan akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 walaupun sedar dirinya 'janda tak seksi'.

Ibrahim berkata jika Donald Trump yang kononnya dibenci ramai akhirnya dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat, tidak mustahil dirinya juga dapat diterima rakyat.

"Saya nak beritahu, kalau tanya saya hari ini, saya semestinya akan bertanding.

"Tapi bagaimana...saya tak tahu, saya tak boleh umumkannya sekarang," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini, Khamis.

Ditanya mengenai parti mana beliau akan bertanding, Ibrahim yang kini tidak terikat dengan mana-mana parti berkata perkara itu belum diputuskannya.

"Saya ni mungkin janda tak seksi lagi kot, tak ada orang nak meminang, jadi tak apalah dalam politik ini saya selalu percaya pada Qada dan Qadar.

"Allah suruh kita usaha kita usahalah, tapi rezeki yang kita dapat Allah tentukan. Kita tak tahu tuah," katanya yang turut tidak mendedahkan kawasan yang mahu ditandingnya.

Ibrahim juga mengimbas kembali tentang dirinya yang pernah dilabel sebagai 'Donald Trump Malaysia' oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamad tidak lama dulu.

"Dulu ada orang kata Ibrahim Ali 'Donald Trump Malaysia', punyalah perlekehkan saya, hari ni dia jadi Presiden Amerika.

"Bila Donald Trump menang dia diam, saya ingatkan dia nak ucapkan tahniah kepada saya, tapi tak ada pun...jadi jangan main-main sebab kita manusia boleh merancang tapi Allah akan tentukan," katanya.

Ditanya sama ada dirinya layak untuk memegang jawatan perdana menteri, beliau berkata perkara itu tidak mustahil, berdasarkan rekod dan kelayakan akademik pemimpim terdahulu.

"Kalau tengok perdana menteri Malaysia sebelum ini, tolak Tun Dr Mahathir Mohamad sebab dia doktor, atau Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah jadi timbalan perdana menteri, saya pun layak, 'standard' sama saja.

"Takkanlah saya tak boleh. Saya pun ada ijazah, 65 tahun, dua kali kena tahan ISA, lebih kurang 50 kali turun naik mahkamah, bepuluh lokap saya dah tidur, jadi saya pun layak, hanya doa sajalah," katanya.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com