Jalan Raya Di Kg Sungai Batu Jadi "Trek" Pelumba Haram

Halim (kiri) dan Zamri menunjukkan simpang empat yang menjadi tempat mat rempit berkumpul pada setiap petang.
BANDAR BAHARU - Tindakan anak muda menjadikan jalan raya di Kampung Sungai Batu, dekat sini, sebagai trek lumba haram pada setiap petang, menggusarkan penduduk setempat.

Penduduk, Halim Md Daud, 47, berkata, aktiviti lumba haram itu semakin membimbangkan sejak dua tahun kebelakangan ini sehingga menyebabkan kemalangan meragut nyawa.

“Sejak jalan raya ini siap empat tahun lalu, memang dah ada aktiviti lumba motosikal di sini, tapi paling membimbangkan dua tahun kebelakangan ini. Makin ramai terutama hari minggu hingga mencecah ratusan motosikal.

"Mat rempit ini kebanyakan bawah umur, yang datang dari kawasan luar dan berkumpul di sini setiap petang untuk berlumba bermula jam 6 petang sehingga masuk waktu Maghrib. Ini bukan hanya membahayakan mereka, tetapi juga penduduk dan pengguna jalan di sini. Nahas meragut nyawa pun dah banyak berlaku,” katanya.

Teguran tidak dilayan

Menurut pengawal keselamatan, Rohani Ismail, 43, aktiviti tidak bermoral itu turut mengganggu urusan penduduk setempat.

“Mengganggu kami sungguh, mereka bukan sahaja berkumpul di tengah jalan, tapi turut buat bising. Cara menunggang motosikal juga sangat membahayakan.

“Mereka tak peduli pengguna yang lain, terutama ketika ada pasar malam di kampung sebelah. Penunggang wanita juga takut sehingga terpaksa membatalkan niat untuk membeli keperluan dapur,” katanya.

Bagi penoreh getah, Mohd Zamri Kasim, 50, nasihat dan teguran sudah diberikan, namun langsung tidak diendahkan anak muda terlibat.

Malah katanya, masalah itu sudah dikemukakan kepada JKKK untuk tindakan lanjut, termasuk membuat aduan kepada polis.

“Ada juga penduduk kampung tegur mereka, tapi langsung tak diendahkan. Kalau ada pun, hari ini mereka beredar, esok datang semula.

“Kami telah bentang dalam mesyuarat JKKK dan buat aduan kepada polis. Memang ada rondaan, namun dilihat tidak berkesan. Mat rempit ini kalau nampak ada polis buat rondaan, mereka akan melarikan diri menggunakan lorong tikus sehingga menyukarkan pihak polis ambil tindakan lanjut,” katanya.

Justeru katanya, bagi  mengelakkan aktiviti itu berterusan, pihak bertanggungjawab diminta mewujudkan bonggol di simpang empat di situ bagi mengurangkan kelajuan kenderaan.

“Jalan di sini lurus dan rata, mungkin sebab itu mat rempit ambil kesempatan menjadikan ia sebagai trek lumba haram.

“Kami cadangkan, selain polis buat rondaan lebih kerap, pihak terlibat juga perlu mewujudkan bonggol atau garisan kuning di simpang empat ini. Dengan adanya bonggol dan garisan kuning itu, pengguna jalan raya terpaksa memperlahankan kelajuan mereka, sekali gus menghalang aktiviti rempit terus berlaku,” katanya.

Minta kerjasama kurangkan kelajuan

Dalam pada itu, suri rumah, Suhairi Che Nik, 40, berkata, pengguna jalan terutama lori perlu prihatin dengan keadaan sekeliling dan mengurangkan kelajuan bagi mengelak kemalangan.

“Kita tahu ini kawasan kampung, tapi jalan di sini telah menjadi laluan utama untuk ke Perak dan lebuh raya. Banyak lori besar juga menggunakan jalan ini.

“Kita harap mereka lebih prihatin dan mengurangkan kelajuan di simpang, selain mengikut peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kemalangan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com