Jaga Kelab Malam Didakwa Tumbuk Lelaki Sehingga Buta


KUALA LUMPUR – Seorang pengawal kelab malam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan menumbuk seorang lelaki sehingga buta.

Jamsari Idris, 44, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Muhammad Ramadhan Norshan, 18, yang bekerja sendiri, dengan cara menumbuk mata mangsa sehingga menyebabkan buta di sebuah kelab malam di Jalan P.Ramlee, Dang Wangi, di sini pada 3.30 pagi, 31 Oktober lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahida Wan Omar tidak menawarkan sebarang jaminan namun sekiranya mahkamah menetapkan jaminan beliau memohon jumlah yang tinggi berserta syarat tambahan bagi menjamin kehadiran tertuduh ke mahkamah.

Tertuduh yang diwakili peguam Zulkifli Awang memohon mahkamah membenarkan jaminan paling minimum dengan alasan tertuduh perlu menanggung bapanya yang sudah uzur dan menghidap penyakit darah tinggi serta kencing manis.

Hakim Azian Othman membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri setiap hari Isnin dua minggu sekali di balai polis berhampiran dan dilarang mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 30 November untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com