Jack Ma Dilantik Penasihat Ekonomi Digital Malaysia


BEIJING - Perdana Menteri pada Jumaat mengumumkan pelantikan jutawan internet China, Jack Ma sebagai penasihat ekonomi digital kerajaan.

Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perkara itu semasa melancarkan Pavilion Pelancongan Alitrip Malaysia, satu platform e-Dagang untuk pelancongan di sini Jumaat.

Sebelum itu, Ma yang juga pengasas dan pengerusi eksekutif Kumpulan Alibaba mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri dan meluangkan masa kira-kira setengah jam sebelum kedua-duanya beredar ke majlis pelancaran.

Antara projek yang akan dilaksana bersama Jack Ma ialah Zon Perdagangan Bebas Digital, yang disebut dalam Bajet 2017, yang akan dilancar bersama Jack Ma Mac tahun depan, katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini, Jumaat.

Najib kini dalam rangka lawatan enam hari ke China mulai Isnin.

Beliau berkata sebagai ikon global dalam bidang e-dagang, Jack Ma akan turut membantu dalam menyediakan pakej e-ekonomi dari segi pelaksanaannya termasuk e-pembayaran, Alipay, e-pembiayaan perbankan dalam talian dan sebagainya.

Katanya, syarikat Alibaba telah pun membangunkan keperluan untuk  ekonomi digital, malah mempunyai rekod yang baik dalam pelaksanaan kemudahan itu.

Untuk itu, kerajaan akan berunding dengan Jack Ma yang mempunyai kepakaran  dalam bidang tersebut.

Beliau berharap Jack Ma juga dapat membantu menghubungkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia menerusi portal dalam talian untuk memberi akses kepada pengguna China yang merupakan pengguna terbesar dunia.

Malah, pembangunan e-dagang ini juga boleh membantu PKS negara untuk menembusi pasaran China yang mempunyai kuasa beli yang besar.

Najib yang enggan menjelaskan secara terperinci mengenai zon perdagangan bebas digital, berkata Jack Ma akan membantu Malaysia menjadikannya menarik dan beliau juga bersedia memberi idea dan pengalamannya dalam membangunkan zon itu, yang bukan sahaja akan memberi manfaat kepada usahawan, malah dapat mewujudkan pemangkin untuk ekonomi Malaysia.

Beliau berkata Alipay, yang merupakan platform pembayaran utama China, yang dilaksanakan oleh Alibaba, dapat juga menarik pelancong China berbelanja.

Selain itu, dari segi pelancongan, pelaksaaan Alipay akan memudahkan rakyat China yang bercuti di Malaysia, berbelanja tanpa perlu membawa wang atau pun kad kredit.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata zon perdagangan bebas digital juga akan menggalakkan pewujudan perniagaan baharu.

Malah, berdasarkan rekod perniagaan, e-dagang mampu meningkatkan pertumbuhan syarikat antara 30 dan 40 peratus setahun, dan ia juga akan mewujudkan lebih banyak pendapatan dan manfaat kepada kerajaan dari segi cukai.

Bagi rakyat, e-dagang akan membantu menurunkan kos apabila membeli dalam talian, yang membolehkan mereka menjimatkan wang, katanya.

Najib berkata Jack Ma akan datang ke Malaysia pada Mac untuk menghadiri forum transformasi global Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dan melancarkan Zon Perdagangan Bebas Digital.

Selain Jack Ma, Perdana Menteri berkata beliau juga bertemu pemilik Wanda Group dan Tencent Holdings yang turut menyuarakan minat masing-masing untuk menyertai ekonomi digital Malaysia.

Wanda ialah syarikat hartanah komersial terbesar China dan pengendali rangkaian pawagam terbesar dunia, manakala Tencent ialah penyedia utama perkhidmatan menambah nilai Internet di China.

Wanda, khususnya berminat mempromosikan industri pelancongan Malaysia, kata Najib. - BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com