Jabatan Amal PAS Ikrar Tidak Sertai Bersih 5


KUALA LUMPUR - Jabatan Amal Pas berikrar tidak akan menyertai Bersih 5.0 selaras dengan saranan kepimpinan tertinggi parti itu walaupun sebelum ini unit merupakan tonggak utama bagi tiga siri awal perhimpunan haram Bersih.

Ketua Pengarah jabatan itu, Mohd. Nazree Mohd. Aris berkata, Jabatan  Amal juga tidak akan mengeluarkan arahan kepada anggota jabatan tersebut untuk bertugas atau menyertai perhimpunan yang akan berlangsung Sabtu ini di ibu negara.

Katanya, Jabatan Amal yang juga salah satu bahagian di bawah Dewan Pemuda Pas memberi amaran keras sekiranya terdapat individu yang cuba memburukkan keadaan dengan menyamar sebagai anggota jabatan tersebut.

“Sekiranya terdapat mana-mana individu yang memakai pakaian seragam Jabatan Amal atau apa juga bentuk lambang atau nama Jabatan Amal pada perhimpunan berkenaan, tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu tersebut.

“Kami juga tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kerugian, kerosakan mahupun kecederaan yang diakibatkan daripada tindakan individu yang menyamar sebagai anggota Jabatan Amal pada perhimpunan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Perhimpunan haram Bersih 5.0 dijangka diadakan di Dataran Merdeka yang melibatkan perarakan peserta perhimpunan di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut dan Jalan Masjid India, Sabtu ini.

Sumber: Utusan

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com