#Islam: Kekeliruan Mengenai Zakat Pendapatan Kita


Soalan: Baru-baru ini saya mengikuti sebuah kuliah agama dan penceramah menyatakan bahawa zakat pendapatan tidak wujud dalam mazhab Syafie, ia hanya ada dalam mazhab Maliki. Saya menjadi keliru kerana di Malaysia umumnya bermazhab Syafie dan kita sudah pun menerima zakat pendapatan sebagai wajib.

Jawapan: Tidak dinafikan, isu ini sering dibahaskan oleh ramai asatizah, ada yang pro dan kontra terhadapnya. Zakat pendapatan hakikatnya bukanlah isu baharu.

Dalam kajian yang dibuat, ia sudah mula dikutip pada zaman Khalifah ar-Rasyidin, iaitu semasa era Sayidina Uthman bin Affan r.a. menjadi khalifah.

Baginda mengenakan zakat atas harta perolehan dalam kalangan tenteranya. Harta perolehan atau dalam istilah lain, disebut juga harta pendapatan. Dalam bahasa Arab, disebut al-mal al-mustafad.

Harus difahami, harta perolehan tentera ketika itu bukan sekadar ghanimah (rampasan perang), tetapi merupakan gaji tetap diberikan sejak Sayidina Umar al-Khattab r.a. menjadi khalifah.

Selepas kematian Uthman, Khalifah Muawiyah bin Abi Sufiyan dan Umar bin Abdul Aziz r.a mengukuhkan amalan ini dengan mengenakan zakat perolehan ke atas tentera, termasuk penjawat awam lain.

Apabila para sahabat muktabar sendiri melaksanakannya bermakna pasti ada suatu dalil kuat mendasarinya. Ini kerana, sesuatu ibadah tidak boleh dilaksanakan tanpa ada dalil yang mengizinkan. Namun, hal mengenai dalil ini sudah pun sering saya bahaskan dalam persoalan mengenai zakat pendapatan sebelum ini.

PERSPEKTIF KHILAFIYAH

Dalam ruang terbatas ini ingin dihuraikan mengenai persoalan daripada perspektif berbeza, iaitu perspektif khilafiyah dalam urusan agama dan bagaimanakah Islam menyelesaikan perbezaan itu dalam konteks bernegara.

Secara umumnya, khilaf atau perbezaan pendapat adalah suatu hal lumrah yang pasti terjadi dalam kalangan manusia, termasuk alim ulama. Seperti mana diisyaratkan oleh Allah SWT:
“Dan apabila kamu berselisih pendapat dalam sesuatu perkara, maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (as-Sunah),” (an-Nisa: 59).
Kenapa berlakunya khilaf dalam sesuatu hukum fikah? Jawapannya, ia tergantung kepada sudut pandang dan kefahaman seseorang fuqaha dalam menerima sesuatu dalil, sama ada al-Quran atau hadis.

Zakat pendapatan biar pun tidak disebut di sisi Mazhab Syafie, namun itu bukanlah bermakna ia tidak boleh dilaksanakan.

Ini kerana di sisi pihak pengeluar fatwa (Jawatankuasa Fatwa), mereka mempunyai pertimbangan tertentu sebelum memutuskan sesuatu fatwa.

Antaranya melihat kepada mafsadah (keburukan) dan manfaat (kebaikan) dalam sesuatu keputusan.

Isu zakat pendapatan ternyata memberikan manfaat lebih banyak kepada umat Islam, sama ada kepada pembayar zakat mahu pun asnaf zakat jika dilaksanakan.

Seterusnya, zakat pendapatan juga menjadi indikator kepada kesuburan sosioekonomi umat Islam dalam sesebuah negara.

Apabila kutipan zakat pendapatan meningkat, itu menjadi tanda kekayaan umat Islam di negara berkenaan juga meningkat.

Sekali gus ia menjadi tanda kurangnya gejala kemiskinan dan keadaan sosioekonomi negara adalah baik serta terkawal.

Sebaliknya penurunan kutipan zakat pendapatan memberikan petunjuk negatif dalam aspek sosioekonomi, malah boleh merebak kepada ketidakstabilan politik. Penurunan kutipan zakat pendapatan memberi isyarat bahawa berlakunya pengangguran dan inflasi.

Maka, pihak berwajib sewajarnya mempunyai mekanisme tertentu bagi menangani keadaan berkenaan sebelum ia menjadi lebih parah dan merosakkan kestabilan serta kemakmuran negara.

Oleh itu bagi meringkaskan jawapan, suka dinyatakan bahawa semua pandangan asatizah yang dikemukakan di negara ini mengenai zakat pendapatan, hendaklah ia tunduk kepada pandangan rasmi, iaitu fatwa yang telah diwartakan oleh pemerintah.

Dengan cara itu, ia dapat meredakan ‘kepeningan’ dalam kalangan umat Islam, sekali gus menyuburkan budaya infaq dan cakna sesama Muslim dalam masyarakat.

Kebaikan zakat pendapatan kepada pembayar (Muzakki)

1. Menyuburkan harta agar menjadi berkat dan bertambah

2. Membersihkan harta daripada percampuran milikan orang lain

3. Menyuburkan rasa kemanusiaan, persaudaraan Islam

4. Mendapat pahala yang berkekalan apabila zakatnya dijana dengan baik

5. Melayakkan mendapat rebat ke atas cukai pendapatan dan pengurangan cukai perniagaan

Kebaikan zakat pendapatan kepada asnaf (Mustahiq)

1. Menjadi sumber utama agihan zakat kepada asnaf

2. Membolehkan asnaf khususnya fakir dan miskin disantuni dengan menyeluruh kerana mempunyai dana zakat yang besar

3. Menumbuhkan perasaan kecintaan orang-orang miskin kepada hartawan Islam

4. Merapatkan jurang kaya miskin dengan orang kaya hasil bantuan pendidikan dan ekonomi tersusun

5. Mendidik asnaf agar bekerja sehingga mampu menjadi pengeluar zakat dengan mencontohi sifat muzakki

Sumber: Utusan

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com