#Islam: Dilema Isteri, Minta Cerai Atau Kekal?

Gambar Hiasan
AYU runsing, dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Keluarganya mendesak agar dia meminta cerai demi masa depannya dan dua anaknya.

Sejak Hasnidi dipenjarakan, segala perbelanjaan rumah diletakkan pada bahunya. Makan, minum, pakaian, sewa rumah, upah pengasuh dan banyak lagi terpaksa difikirkan.

Itu belum lagi memikirkan soal pembelajaran anak-anaknya. Adakalanya Ayu terpaksa meminjam daripada keluarga terdekat. Malu? Semua itu ditolak ke tepi kerana dia terpaksa melakukannya demi kelangsungan hidup.

Ayu sama sekali tidak sangka hidupnya diuji sebegini rupa. Sebelum ini soal kewangan tidak pernah memeningkan kepalanya. Semuanya diuruskan oleh suami, dia hanya membantu mencukupkan mana-mana yang perlu sahaja.

Tapi sejak Hasnidi ditangkap dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun atas kesalahan mengedar dadah, Ayu seakan patah sayap. Dia menyesal kerana selama ini langsung tidak mahu ambil tahu tentang pekerjaan suaminya.

Bagi Ayu, suaminya seorang peniaga. Berniaga apa? Bukan urusannya untuk ambil peduli. Yang penting, suaminya tidak pernah lupa tanggungjawab memberi nafkah kepadanya dan keluarga.

Kini, desakan keluarganya membuatkannya benar-benar bingung. Sekalipun suaminya seorang pengedar dadah, namun dia lelaki yang bertanggungjawab bahkan penyayang. Hasnidi tidak pernah menyakitinya apatah lagi anak-anaknya. Apa sahaja keperluan Ayu dan anak-anak dipenuhi segera mungkin.

Namun, wajarkah dia menunggu Hasnidi selama tempoh itu? Apa nasib dirinya dan anak-anak jika dia ‘setia’ menunggu? Perlukah dia memberi peluang kedua kepada Hasnidi untuk mengubah nasib dirinya? Ayu sedar, sayangnya kepada Hasnidi tidak mampu mengubah hidupnya.

TIP KAUNSELOR

1. Isteri bukanlah mutlak menjadi hak suami kerana kedudukan isteri dari sudut ketaatan terhadap suami terikat dengan syarat iaitu selagi dia masih berada dalam landasan Islam dan tidak melakukan perkara dilarang oleh Allah, maka isteri berkewajipan mentaati suami tanpa kompromi.

2. Suami yang adil bukanlah semata-mata memberikan apa yang diperlukan oleh isteri secara duniawi tetapi suami perlu menyediakan suasana kehidupan dikehendaki Islam agar membawa isteri dan keluarga ke jalan yang menyelamatkan mereka dunia serta akhirat.

3. Apabila isteri berhadapan dengan isu suami dipenjarakan, isteri dibenarkan oleh syarak untuk membuat tuntutan haknya di Mahkamah Syariah terutama dari sudut nafkah selama suami tidak mampu menjalankan tanggungjawabnya.

4. Isteri boleh mengemukakan tuntutan nafkah kepada mahkamah melalui perintah yang diluluskan menerusi Badan Sokongan Keluarga (BSK) Mahkamah Syariah sebagai nafkah sementara yang akan dibayar semula oleh suami apabila keluar dari penjara kelak.

5. Jika isteri tidak lagi bersedia meneruskan perkahwinan dengan suami yang terbukti melakukan kesalahan jenayah dari sudut undang-undang, isteri berhak mengemukakan tuntutan permohonan membubarkan perkahwinan melalui tuntutan fasakh.

PANDANGAN KAUNSELOR

Ditelan mati emak diluahkan mati bapak. Perumpamaan ini menggambarkan betapa sukarnya kehidupan apabila berhadapan dengan isu yang membuatkan seseorang serba salah.

Berada dalam dilema antara meneruskan perkahwinan atau sebaliknya. Seorang isteri mempunyai hak ke atas dirinya untuk mendapatkan jaminan keselamatan dan kebajikan daripada seorang suami yang dikahwininya.

Bahkan seorang suami bertanggungjawab terhadap semua keperluan isteri sama ada berbentuk fizikal dan psikologi. Semua keperluan itu perlulah berlandaskan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Firman-Nya :
“Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita, Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki atas sebahagian yang lain (wanita) dan mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. Sebab itu, maka wanita yang soleh, ialah yang taat Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana Allah telah memelihara (mereka). Wanita-wanita yang kamu khuatir nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.” - Surah An Nisa : 34
Dalam isu suami memberi nafkah kepada isteri daripada sumber tidak halal, dari sudut pandangan agama isteri seharusnya menasihati suami agar berusaha mengubah cara hidupnya agar tidak bercanggah dengan perintah agama.

Namun setelah dinasihati suami masih tidak mahu melakukan perubahan, maka isteri dibenarkan untuk mengadu kepada pihak berwajib seperti Mahkamah Syariah atau mendapatkan khidmat kaunseling keluarga Islam.

Dalam konteks hubungan perkahwinan, seorang suami bertanggungjawab memberi nafkah kepada keluarga, namun ia bukanlah bererti suami boleh melakukan apa sahaja tanpa perlu memberi perhatian terhadap soal halal haram daripada sumber rezeki yang diperoleh.

Islam menekankan soal keberkatan rezeki agar apa yang diberikan kepada keluarga akan memberi kesan baik kepada kehidupan secara keseluruhannya.

Justeru bagi mana-mana pasangan yang ingin berkahwin, selidik latar belakang pasangan anda agar perjalanan kehidupan tidak dibelenggu dengan permasalahan luar jangkaan. Atas dasar itulah, Islam mengambil pendekatan menyarankan supaya setiap individu mengenal pasti bukan sahaja diri individu yang hendak dikahwini bahkan keluarganya.

Sumber: Utusan

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com