#Islam: 3 Sebab Mengapa Perlu Maafkan Orang Yang Memohon Maaf


“BERAPA nilai dunia ini? Nilai dunia pada Allah SWT hanyalah seumpama anak kambing yang telah mati dengan kedua-dua telinga binatang ternakan itu terputus akibat dipotong. Selain itu, keadaan bangkai haiwan itu begitu menjijikkan. Begitulah nilai seluruh dunia ini bagi Allah, malah jauh lebih rendah daripada nilai bangkai haiwan tersebut.

“Maka untuk apa kita bertelingkah berhubung hal dunia yang fana ini? Saya mahu awak semua faham tentang nilai dunia ini terlebih dahulu sebelum kita pergi lebih jauh untuk perbincangan pada hari ini,” kata pendakwah terkenal, Majed Mahmoud dalam ceramahnya yang dimuat naik di laman sosial.

Beliau yang merupakan anak kelahiran Arab Saudi dan kemudian berhijrah ke Kanada bagi menjalankan usaha dakwah berkata, suatu ketika, Rasulullah SAW pernah memberitahu bahawa ada lelaki yang dijanjikan syurga oleh Allah ketika dia masih hidup.

Seorang sahabat nabi, Abdullah bin Amru begitu teruja untuk mengetahui amalan apakah yang dilakukan oleh lelaki tersebut sehingga Allah menjanjikan nikmat paling besar iaitu syurga.

Maka sahabat nabi itu membuat alasan bahawa beliau bergaduh dengan bapanya dan tidak akan bercakap selama tiga hari. Dalam tempoh tersebut, dia minta kebenaran untuk tidur di rumah lelaki yang dijanjikan syurga oleh Allah itu.

Kesempatan itu mahu digunakan bagi menyelidik apakah amalan hebat yang dilakukannya sehingga dianugerahkan syurga ketika nyawa masih dikandung badan.

Sepanjang tempoh bersama lelaki tersebut, Abdullah tidak melihat amalan hebat yang dilakukan melainkan mengucapkan Allahuakbar ketika terjaga pada waktu malam dan kembali tidur sehingga masuknya waktu solat subuh.


Melihat tiada amalan hebat atau istimewa yang dilakukan oleh lelaki itu, dia berasa ganjil. Akhirnya, sahabat nabi itu berterus terang dengan pemuda tersebut dan bertanyakan apakah ada amalan lain yang dilakukan olehnya.

Lelaki itu menjawab perkara sama seperti yang dilihat oleh Abdullah. Jawapan itu membuatkannya kecewa kerana masih tidak mengetahui amalan istimewa yang dilakukan lelaki berkenaan.

Ketika Abdullah ingin berlalu pergi, lelaki itu berkata: “Sepanjang hari, saya akan memastikan sebelum bermula dan berakhirnya satu-satu hari tersebut, mengosongkan hatinya daripada sebarang rasa benci, dengki, buruk sangka, perasaan cemburu serta pelbagai penyakit yang bersamaan dengan amalan buruk tersebut.

“Selain itu, saya juga akan memaafkan semua orang. Setelah mengosongkan hati dengan semua amalan buruk itu dan memaafkan semua orang, saya akan memulakan hari baharu saya itu.”

Setelah mendapat jawapan tersebut, barulah Abdullah berpuas hati dan menyatakan perkara itu menjadi penyebab kenapa hamba Allah itu dijanjikan syurga meskipun dia masih belum meninggal dunia.

Majed berkata, amalan baik tersebut merupakan suatu perkara yang susah untuk diamalkan terutama dalam memaafkan kesalahan orang lain terhadap diri kita.

“Apakah nilai di sebalik kita memaafkan orang? Tiga sebab kenapa perlu memaafkan orang. Pertama, apabila memaafkan orang, Allah akan memaafkan diri kita. Perkara ini dijanjikan oleh Rasulullah SAW. Adakah kita masih meragui perkara ini? Maka maafkanlah sesiapa sahaja.

Tambah Majed: “Adakah hati kita masih keras untuk memaafkan orang lain apabila mengetahui ganjaran besar atas perbuatan baik kita itu? Adakah kita mahu menghancurkan segala kehidupan akhirat yang kekal selamanya hanya kerana sebab dunia yang hanya bernilai sebelah sayap nyamuk di sisi Allah?

“Kamu akan menjadi kekasih Allah apabila melakukan amalan soleh dan memaafkan orang ramai. Apakah ada nilai yang lebih tinggi apabila Allah mencintai diri kamu?.

Majed berkata, terdapat dua sebab utama sukarnya manusia untuk menjadi seorang pemaaf, iaitu kerana menghidap penyakit angkuh dan sebab kedua ialah bisikan syaitan yang konsisten menyesatkan manusia.

“Apakah dengan memaafkan orang, maruah akan menjadi lebih rendah? Pastinya tidak. Sebaliknya, ia akan menjadi lebih tinggi. Apabila memohon maaf, darjat kita akan naik di sisi Allah. Hanya orang yang sombong sahaja yang tidak mahu menyebut perkataan maaf,” katanya.

Sumber: Utusan

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com