Insiden Serangan Di Ohio: 296 Pelajar Malaysia Selamat

Pelajar-pelajar di Ohio State University, Amerika Syarikat meninggalkan bangunan berhampiran laluan pejalan kaki di kampus Columbus, di mana seorang pelajar telah merempuh kenderaannya sebelum menyerang pelajar lain dengan pisau pemotong daging. -fotoAP
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengesahkan tiada pelajar Malaysia terlibat dalam insiden serangan di Ohio State University, Amerika Syarikat semalam.

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, wakil Pendidikan Malaysia (EM) di Washington DC memaklumkan perkara tersebut kepada KPT.

“Pihak EM melaporkan tiada pelajar Malaysia yang terlibat dan dimaklumkan semua pelajar Malaysia seramai 296 orang dalam keadaan selamat,” kata dalam satu kenyataan media hari ini.

Idris berkata, seramai lima pelajar Malaysia di sana merupakan tajaan KPT, Jabatan Perkhidmatan Awam (99), Majlis Amanah Rakyat (85) dan 107 pelajar persendirian.

Katanya, pihak kedutaan Malaysia dan EM sedang memantau keadaan semasa serta menasihatkan pelajar supaya mengambil langkah berjaga-jaga serta mengikut arahan pihak keselamatan di Ohio.

Dalam serangan tersebut, seorang pelajar dilaporkan telah merempuh kenderaannya pada laluan pejalan kaki di kampus Columbus, Ohio.

Dia kemudian menyerang para pelajar lain dengan pisau pemotong daging dan dia kemudiannya ditembak seorang pegawai polis kampus.

Sebelas orang dimasukkan ke hospital berikutan kejadian itu, seorang daripada mereka dalam keadaan kritikal.

Dilaporkan penyerang tersebut merupakan pelajar universiti tersebut berketurunan Somalia. – Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com