Ibu Bapa Tak Puas Hati Anak Lewat Kena Duduk Atas Jalan


SEJAK semalam, tersebar beberapa gambar menunjukkan sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tun Dr. Ismail, ‘dihukum’ duduk atas jalan tar gara-gara lewat datang ke sekolah.

Perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati netizen khasnya dari golongan ibu bapa yang mempersoalkan kewajaran pihak sekolah memberikan denda sedemikian kepada pelajar-pelajar mereka.

Melihat perkara ini, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Dr Mohd Ali Hassan berkata sepatutnya pengetua harus mempunyai budi bicara yang tinggi dalam usaha mendisiplinkan pelajar.

“Aspek psikologi dan emosi pelajar perlu diambil kira dan jangan terlalu fokus untuk mengenakan denda dan sebagainya,” katanya dipetik dari laporan Harian Metro.


Tambahannya lagi, beliau menyatakan tindakan itu adalah agak keras dan tidak wajar dilakukan disebabkan pelajar seharunya diberi amaran terlebih dahulu dan bukan terus diperlakukan sedemikian.

Seorang waris pelajar yang meminta tidak disiarkan namanya berkata: “Saya lihat kejadian itu ketika hendak hantar anak untuk menduduki hari pertama SPM.”

“Apabila saya tanya kenapa buat begitu kepada pelajar, pengetua itu menyatakan bahawa pelajar yang lewat terpaksa diasingkan daripada pelajar lain.

“Kata pengetua ini, memandangkan sekolah tidak cukup ruang ketika perhimpunan, mereka tidak mempunyai pilihan lain selain duduk di atas jalan.

“Pengetua itu kata, mereka (pelajar) juga diarahkan supaya membawa plastik alas sekiranya lambat ke sekolah.”

“Bila saya tanya tidakkah ada cara lain selain duduk atas jalan kerana pelajar memakai pakaian yang sama untuk bersolat, dikhuatiri terduduk atas najis dan sebagainya.

“Tapi, pengetua itu seolah-olah menyindir pula dan menjawab agar ibu bapa boleh menderma lebih 1,000 bangku untuk memastikan anak-anak dapat duduk atas bangku ketika perhimpunan,” katanya.


Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P Kamalanathan yang dihubungi oleh pihak Harian Metro berkata, pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyiasat segera perkara itu.

Katanya, kementerian memandang serius berhubung kejadian segelintir pelajar SMK Taman Tun Dr. Ismail yang diarahkan duduk di atas jalan kerana lewat sampai ketika perhimpunan sekolah.

“Saya juga melihat pengetua sekolah ini tidak sewajarnya memberikan kenyataan mengikut perasaan. Perkara ini perlu diperhalusi,” katanya. – Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com