Ibrahim Ali Beri "Gelaran" Kepada Khairuddin Abu Hassan


KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali mempersoalkan kedudukan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang sering mengeluarkan kenyataan mengenainya.

Katanya, Khairuddin hanya memegang jawatan kecil ketika berada dalam UMNO tetapi dilihat ‘gemar’ membidasnya dalam banyak perkara.

“Siapa dia untuk buat kenyataan? Berapa pengikut? Suka sangat ‘bantai’ saya.

“Mungkin dia cari kredit untuk bersuara,” katanya ada sidang media di Ibu Pejabat Perkasa di sini, semalam.

Susulan itu, beliau mengelarkan Khairuddin sebagai ‘sotong laut’ kerana sikapnya seolah-olah menunjukkan konon hanya dirinya sahaja yang mampu membela Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau menjelaskan, tindakan orang seperti Khairuddin ini juga menjadi antara sebab Tun Mahathir berkelakuan 'luar biasa', kini.

Khairuddin sebelum ini dilapor telah mengeluarkan kenyataan membidas Presiden Perkasa itu yang dianggap sudah tidak relevan sehingga membangkitkan kemarahan bekas Ahli Parlimen Pasir Mas yang terkenal sikap dengan 'cepat panas' itu.

Sementara itu, Ibrahim turut menyelar gerakan pembebasan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Jelasnya, beliau tidak pernah merungut ketika ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 60 hari.

“Saya tidak pernah komplen apabila ditahan dan waktu itu adalah pemerintahan Tun Mahathir.

“Berbeza dengan kini apabila ditahan selama 10 hari tetapi riuh berkumpul di Dataran Merdeka, soladiriti,” katanya yang semangat memperjuangkan supaya ISA dikekalkan.

Tambahnya, cabaran ketika berada dalam tahanan adalah sesuatu yang perlu ditempuhi dengan kekuatan sebagai seorang pejuang. –Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com