Harimau Malaysia Tewaskan Papua New Guinea 2-1


SHAH ALAM – Skuad Harimau Malaysia bangkit daripada ketinggalan sebelum menang 2-1 ke atas Papua New Guinea pada aksi persahabatan antarabangsa kelas ‘A’ di Stadium Shah Alam, di sini, petang semalam.

Kemenangan itu berjaya melunaskan kembali kekalahan 0-2 skuad kebangsaan kepada pasukan sama pada aksi persahabatan Jelajah Oceania di Stadium Sir John Guise, Papua New Guinea pada 17 Jun lepas.

Pada aksi semalam, gawang skuad negara dibolosi seawal minit keenam menerusi Nigel Dabinyaba selepas beliau memanfaatkan kelalaian benteng pertahanan skuad negara.

Penyerang Ahmad Hazwan Bakri bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan untuk skuad kebangsaan pada minit ke-20 menerusi sepakan voli dalam kotak penalti lawan, sekali gus menceriakan hampir 5,000 penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

Skuad kebangsaan hampir menggandakan jaringan pada minit ke-34 namun percubaan Ahmad Hazwan hasil hantaran kapten pasukan, Mohd Amri Yahyah tinggi melewati pintu gol pasukan pelawat dan keputusan 1-1 kekal sehingga waktu rehat.

Babak kedua menyaksikan skuad kebangsaan kembali mengasak dan berjaya mendahului perlawanan pada minit ke-47 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Mohd Amri.

Pengadil, Alongkron Feemuechang dari Thailand menghadiahkan sepakan penalti itu setelah penyerang kebangsaan, Darren Lok dijatuhkan pertahanan pelawat, Alwin Komolong dalam kotak penalti.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee kemudian membuat beberapa pertukaran pemain pada pertengahan babak kedua bagi menguatkan jentera serangan, namun gagal menambah jaringan sehingga tamat perlawanan.

Perlawanan persahabatan tersebut adalah aksi terakhir skuad kebangsaan sebelum berangkat ke Yangon, Myanmar pada Rabu ini bagi menghadapi Kejohanan Piala AFF.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B kejohanan dwitahunan itu bersama Kemboja, Vietnam dan tuan rumah, Myanmar. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com