Harga Tidak Munasabah, Pemilik Pasaraya Di Sg Petani Didenda RM15,000

Siow Sin (kanan) ketika hadir ke mahkamah
ALOR SETAR - Seorang pemilik pasar raya didenda RM 15,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini kelmarin atas pertuduhan menaikkan harga barangan pada harga yang tidak munasabah.

Hakim Zanol Rashid Hussain, membuat keputusan itu terhadap Ooi Siow Sin, 30, setelah mendengar rayuan dari tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Siow Sin dipercayai melakukan perbuatan terbabit  pada 21 April lalu di premis ECN World Marketing Sdn.Bhd yang beralamat di No.12&13, Jalan Kuda Kepang 1/1, Taman Ria Jaya, 08000 Sungai Petani.

Dalam perjalanan perniagaannya, Siow Sin didapati mencatut dalam menjual Lux Shower Cream (Velvet Touch) -Refill Pack 600ml dengan kenaikan harga jualan dari RM7.90 kepada RM9.40.

Oleh itu, dia didapati gagal  mematuhi Peraturan 2 (2) Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) (Margin Keuntunagn Bersih ) 2014.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 14 (1) Akta kawalan harga dan Antipencatutan 2011 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 18(a) Akta yang sama, yang memperuntukkan denda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit dan tidak melebihi satu juta ringgit bagi kesalahan kedua.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com