Harga Getah: Turun Atau Naik Tiada Kena Mengena Dengan Kerajaan - Exco


ALOR SETAR - Exco Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi Negeri Kedah, Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail menegur pihak yang sering menyalahkan kerajaan ketika harga getah jatuh di negara ini.

Tegas beliau, tindakan menyalahkan kerajaan tersebut sama sekali tidak wajar dilakukan kerana harga getah di Malaysia ditentukan oleh pasaran antarabangsa dan tidak ada kena mengena dengan kerajaan sama ada harganya naik atau turun.

"Berhubung dengan harga getah ni, bila harg getah turun, kita salahkan kerajaan. Bila harga naik, takdak sapa yang kata terima kasih kerajaan kerana harga getah naik. La (sekarang) harga getah tengah dok naik.

"Sebenarnya, harga getah naik atau turun, tak ada kena mengena dengan kerajaan. Itu sebenarnya.. tak ada kena mengena dengan kerajaan.

"Jadi kalau naik pun tak puji tak apa, tapi kalau turun jangan marah (pada kerajaan). Kerana kerajaan tidak ada cara untuk mengawal dan menentukan harga getah,"

"Ia sebenarnya ditentukan oleh pasaran antarabangsa," tegas beliau ketika membuat penggulungan membahaskan Bajet Kedah 2017 di sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) di Wisma Darul Aman, di sini semalam.

Jelas beliau, hakikat sebenar yang perlu diketahui adalah tentang faktor yang menentukan harga getah adalah kesan-kesan pasaran, penawaran dan permintaan, turun naik harga minyak dan nilai Ringgit Malaysia (RM).

Ekoran nilai RM yang merudum jatuh berbanding Dolar Amerika Syarikat (AS) gara-gara kemenangan Donald Trump pada pilihan raya di AS baru-baru ini, ia telah memberi kesan pada harga getah dan melonjak naik hingga ke paras yang tinggi.

Jelas beliau, apa yang Kerajaan Pesekutuan boleh lakukan dan memang melakukannya ialah membantu pekebun kecil dan penoreh getah melalui insentif bila harga getah jatuh pada harga yang terlalu rendah melebihi harga lantai.

Katanya lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang juga merupakan Menteri Kewangan telah mengumumkan bantuan musim tengkujuh bagi mereka golongan berkenaan, suatu dasar yang tidak pernah diamalkan di mana-mana negara di dunia sebelum ini.

Difahamkan  bahawa pihak pembangkang sering menjadikan penurunan harga getah di negara ini sebagai modal untuk mencetus kebencian dan kemarahan rakyat kepada kerajaan, khususnya di kalangan pekebun kecil dan penoreh di kampung-kampung di Kedah. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com