Harap JKKK Tidak Pinggir Peranan Anak Muda

Antara JKKK yang menghadiri kursus di Seri Mentaloon
ALOR SETAR - Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diseru memainkan peranan mendapatkan sokongan orang muda sebagai persediaan menghadapi PRU14.

Pengerusi Umno negeri, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, sokongan orang muda sangat penting kerana mereka merupakan penentu kejayaan BN pada PRU akan datang.

Menurutnya, anak muda kalau kita tak belai dan jaga mereka, apabila tibanya PRU, mereka akan tinggalkan kita dan pilih parti sebaliknya yang menjaga kebajikan mereka.

“Pihak JKK perlu prihatin dengan kemudahan seperti gelanggang futsal untuk kegunaan golongan ini beriadah di kampung selain menjaga kebajikan lain,” katanya semasa berucap di Program Transformasi JKK negeri Kedah, kelmarin.

Menurut beliau, sebelum ini, kementerian juga memperuntukkan RM500 bagi sambutan Hari Sukan Negara 8 Oktober lalu yang disambut di setiap bahagian.

“JKKK seharusnya memperlihatkan tauladan yang baik kepada kepada golongan muda yang kini lebih terdedah dengan pengaruh fitnah kerajaan di media sosial.

“Mereka merupakan kepimpinan akar umbi yang paling dekat dengan rakyat, tunjuk tauladan yang baik dan jangan gunakan amanah yang diberikan untuk kepentingan diri,” katanya.

Ahmad Bashah berkata, persiapan rapi menghadapi PRU sudah giat dijalankan dan semua pihak harus berganding bahu dan duduk bersama sebagai suatu keluarga.

“Persiapan rapi perlu diatur untuk menarik orang muda menyertai Umno selain mereka akan turut memainkan peranan menangkis fitnah pembangkang.

“Fitnah yang ada sekarang seperti guruh di langit berdentum tanpa henti, golongan muda ini paling mudah terpengaruh,” katanya.

Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar Kedah, berkata, beliau turut berhasrat meminta ihsan kerajaan persekutuan agar elaun setiausaha JKKK dinaikkan selaras dengan tanggungjawab mereka.

“Dalam Bajet 2017 yang diumumkan, elaun pengerusi JKKK sudah dinaikkan sebanyak RM100 bermula tahun hadapan, manakala elaun setiausaha masih kekal RM300.

“Saya akan ketengahkan isu ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kerana elaun setiausaha juga wajar dinaikkan selaras dengan kerja kuat mereka," katanya.

Program Transformasi JKKK negeri Kedah anjuran Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) itu dihadiri oleh 416 JKKK dari dua daerah iaitu Kota Setar dan Pokok Sena.

Turut hadir Pengerusi Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Datuk Mohd Arpan Shaari dan pegawai-pegawai daerah.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com