Fenomena Bulan Penuh: Beberapa Kawasan Terdedah Air Pasang Besar


GEORGE TOWN - Beberapa kawasan di Pulau Pinang terdedah kepada bahaya banjir akibat fenomena bulan penuh yang dijangka berlaku mulai hari ini sehingga 21 November.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Tebatan Banjir dan Pengurusan Lalu Lintas Chow Kon Yeow berkata air pasang mungkin mencapai setinggi 3.5 meter dan kawasan-kawasan yang rendah mungkin mengalami banjir.

"Kawasan seperti Kampung Manis di Perai adalah satu daripada kawasan yang paling terdedah di negeri ini kepada banjir kerana fenomena tersebut disebabkan  lokasinya," kata beliau pada sidang media di sini Isnin.

Ini kali pertama sejak 1948 bulan berada di kedudukan paling dekat dengan bumi dan disebabkan kedudukan itu, tarikan graviti menjadi lebih kuat dan fenomena itu dijangka menyebabkan air pasang besar yang menyebabkan banjir terutama di kawasan-kawasan rendah.

Chow berkata, kerajaan negeri telah melakukan segala-galanya dalam bidang kuasanya untuk mengurangkan banjir tetapi dalam keadaan tertentu akibat fenomena semula jadi, tiada apa yang boleh dilakukan.

"Fenomena seperti bulan penuh dan hujan lebat yang luar biasa akan menyebabkan banjir tetapi malangnya ia di luar kawalan kerana kita tidak dapar mengawal sifat alam semulajadi," katanya.

Pada 16 Oktober, kira-kira 20 buah rumah di Kampung Manis di Perai dilanda banjir dan air berada di paras lutut.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang Pang Ah Leh berkata pihaknya telah bersiap sedia dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghadapi fenomena air pasang besar.

Berdasarkan pengalaman sebelum ini, tiga daerah iaitu Barat Daya, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah dijangka berisiko mengalami banjir ketika air pasang besar walaupun tanpa hujan, katanya dalam kenyataan di sini Isnin.

Beliau berkata APM akan membuat rondaan setiap empat jam di kawasan-kawasan terbabit dan penduduk di kawasan berisiko dinasihat berpindah ke pusat pemindahan yang ditetapkan apabila diarah berbuat demikian. - BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com