Exco Kerajaan Negeri Puji Sokongan Padu Penyokong Hijau Kuning


ALOR SETAR - Sokongan padu dan tidak berbelah bagi yang ditunjukkan para penyokong setia Hijau Kuning kepada skuad kebanggaan negeri, Lang Merah, amat ketara serta dipuji mampu mencetus semangat kesukanan dan perpaduan yang erat di kalangan rakyat di negeri itu.

Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Tajudin Abdullah berkata, beliau takjub dengan kesanggupan para penyokong Kedah yang sanggup memenuhi Stadium Shah Alam pada perlawanan akhir TM Piala Malaysia baru-baru ini.

Katanya, bola sepak sememangnya menjadi tradisi sukan nombor satu yang menjadi kegemaran rakyat Kedah dan merupakan simbol perpaduan di kalangan anak-anak jati negeri Jelapang Padi yang wajar dicontohi.

"Saya pun tengok sendiri penyokong-penyokong Kedah memang begitu setia. Bukan saja naik kereta, naik bas, tapi ada yang sanggup menunggang motorsikal ke Shah Alam.

"Ini menunjukkan tanda sokongan padu dan setia kepada pasukan Hijau Kuning tanpa mengira agama, keturunan, bangsa dan ideologi politik. Sebenarnya sukan ini boleh menyatupadukan masyarakat, terutama sekali di negeri Kedah," katanya ketika ditemui Kedahnews.com, di sini hari ini.

Jelas beliau, kepimpinan Kerajaan Negeri yang diterajui Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, sememangnya mengambil berat tentang sukan bola sepak yang menjadi pilihan nombor satu di negeri Kedah itu.

Tajudin berkata, keutamaan kepada skuad Lang Merah dan para penyokong Hijau Kuning sering diberi perhatian dengan pemberian imbuhan, penyediaan prasarana, pembangunan bola sepak, termasuk sebuah stadium baru yang lebih besar sedang dirancang untuk keselesaan para penyokong.

"Stadium Darul Aman tidak lagi muat untuk menampung jumlah penyokong Kedah yang membanjiri stadium pada setiap kali perlawanan, maka kerana itu kerajaan negeri memikirkan keperluan peminat dengan merancang sebuah stadium baru yang berkapasiti lebih besar.

"Pengumuman mengenai stadium tersebut menjadi satu suntikan semangat bukan saja kepada pasukan Lang Merah dan pengurusan KFA, malah lebih utama kepada para penyokong Hijau Kuning yang tidak putus-putus memberi sokongan," katanya di sini hari ini.

Pasukan Kedah menjuarai TM Piala Malaysia 2016 setelah menewaskan pasukan Selangor di Stadium Shah Alam melalui sepakan penalti, 6-5, sekaligus menamatkan kemarau kejuaraan yang dinantikan selama 8 tahun.

Kali terakhir Kedah melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia pada tahun lalu, namun dihampakan oleh The Red Giants dengan jaringan 2-0, sekaligus menggagalkan misi Menteri Besar Kedah ketika itu Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Jelapang Padi. - Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com