Exco Cari Jalan Selesai Bantahan Besarkan Rumah Ibadat Di Kg Gelung Air

Penduduk kampung berarak membawa sepanduk di sepanjang Kampung Gelung Air
ALOR SETAR - Seramai 500 penduduk Kampung Gelung Air, Gunung Keriang, berhimpun bagi membantah pembesaran sebuah rumah ibadat di kampung mereka.

Wakil penduduk, Muhamad Azri Md Saad, 40 mendakwa, tapak rumah ibadat itu adalah berstatus tanah rizab bukit dan belum mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan.

“Pada asalnya ia adalah sebuah rumah biasa bagi memudahkan ibadat, namun lama kelamaan kawasan itu diperluaskan,” katanya.

Menurutnya, mereka turut meratakan kawasan sawah padi yang terletak bersebelahan rumah ibadat berkenaan bagi membina pagar.

“Wujudnya pagar di kawasan itu menyebabkan kami tidak lagi bebas untuk ke Gua Telur dan mendapatkan sumber air yang terletak di belakang rumah ibadat terbabit,” katanya.

“Kami juga mendapati terdapat sebuah tangga kayu yang dibina setinggi 50 meter untuk memudahkan mereka naik beribadat di situ,” katanya.

Menurut Muhamad Azri, besar harapan agar suara hati mereka mendapat perhatian pihak berwajib, apatah lagi 95 peratus penduduk kampung ini beragama Islam.

“Kami tidak menghalang kaum lain untuk beribadat, apatah lagi rumah ibadat berkenaan sudah berusia hampir 26 tahun. Kami hanya berharap agar ia tidak diperluaskan dan kembali kepada keadaan asal,” katanya.

Muhamad Azri berkata, sebelum ini penduduk telah kemukakan masalah ini kepada beberapa pihak, antaranya, Pejabat Adun, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan pejabat penghulu, namun sehingga kini tiada tindakan diambil.

Sementara itu, Exco Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, dan Perpaduan Negeri, Datuk Dr Leong Yong Kong berkata, beliau akan berhubung dengan pihak bertanggungjawab untuk menyelesaikan isu berkenaan.

“Jalan penyelesaian yang sewajarnya akan diambil dan kita harap isu ini dapat diselesaikan secara aman untuk kebaikan kedua-dua pihak,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com