EKSKLUSIF: Sandro Sah Beraksi Semula Bersama Lang Merah Musim Depan..!


ALOR SETAR - Kerinduan para penyokong pasukan Lang Merah terhadap bintang import Kedah, Sandro Da Silva Mendonca, bakal terubat apabila beliau disahkan bakal kembali beraksi menyarung jersi Hijau Kuning dan menghangatkan lagi arena bola sepak negara pada musim depan.

Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berkata, perkembangan Sandro yang kini sedang mengikuti latihan fizikal di negara asalnya, Brazil, menunjukkan perkembangan yang sangat baik dan dijangka bakal kembali ke bumi Jelapang Padi pada November ini.

"Sehingga kini perkembangan dia (Sandro) bagus.

"Dia sekarang masih di Brazil. Dia ada pakar yang ikut bersamanya di dalam team 'physical trainer' untuk membina keyakinan diri, bina kekuatan fizikal diri.. semualah yang melibatkan kecergasan dirinya,

"Kalau semuanya berjalan baik, dijangka hujung bulan November ini dia akan kembali balik ke sini mengikuti latihan macam biasa dengan kita," kata Cheng Hoe, memberi berita baik yang ditunggu-tunggu ramai peminat dan penyokong Hijau Kuning.


Cheng Hoe turut menyatakan harapan beliau terhadap tonggak utama yang sering menjadi "play maker" skuad Lang Merah itu.

"Kita amat berharap Sandro dapat bermain seperti yang dia tunjukkan pada tahun lepas dan awal tahun ini.

"Kerana sudah tentu harapan pada tahun depan sudah tentu lebih meningkat," katanya kepada Kedahnews.com.


Ketua Jurulatih skuad Lang Merah itu menjangkakan pasukan-pasukan lain akan mempunyai motivasi yang lebih tinggi untuk menewaskan skuad Kedah ekoran status pasukan bimbingannya itu sebagai penyandang Juara Piala Malaysia 2016.

"Sama macam kitalah. Bila setiap kali kita jumpa JDT (Johor Darul Takzim) maka motivasi kita pun tinggi untuk kalahkan JDT," ujar beliau.

Cheng Hoe menjelaskan bahawa semua pemain Lang Merah kini sedang bercuti panjang dan dijangka bakal kembali menjalani latihan pertama pada penghujung bulan ini. - Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com