EKSKLUSIF: Sandro Dijangka Tiba Di Kedah Pada 27 November Ini


ALOR SETAR - Penyerang import kesayangan para penyokong Lang Merah, Sandro Da Silva, dijangka bakal tiba di bumi jelapang padi pada 27 November ini, kata Exco Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Kedah, Dato' Aminuddin Omar.

Jelas beliau, Sandro masih mempunyai kontrak setahun lagi dengan skuad Kedah dan difahamkan dalam keadaan terbaik untuk menyarung semula jersi Hijau Kuning pada musim hadapan.

"Saya difahamkan bahawa Sandro akan balik ke sini pada 27 November nanti," katanya ketika ditemui Kedahnews.com, sejurus selepas selesai mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, petang tadi.

Mengulas lanjut, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah (KFA) itu turut optimis berhubung seorang lagi pemain import berprofile tinggi, Liridon Krasniqi, akan mengikat kontrak baru dengan pasukan kebanggaan rakyat Kedah itu.

"Pemain-pemain lain yang sedia ada seperti Liridon Krasniqi saya yakin akan terus bersama dengan pasukan Kedah," jelas beliau.

Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe masih dalam proses pencarian pemain-pemain import baru yang dilihat mampu memantapkan lagi pasukan Kedah yang dijangka bakal mendapat saingan sengit dari beberapa pasukan elit, khususnya JDT.

"Berkenaan dengan pemain-pemain import lain, ia masih dalam perancangan jurulatih kita, Tan Cheng Hoe.

"Saya difahamkan beliau sedang bertungkus-lumus untuk mengenal pasti mana-mana lagi pemain import yang difikirkan baik untuk membantu pasukan Kedah untuk musim 2017 nanti," kata beliau.

Tan Cheng Hoe sebelum ini ketika ditemubual Kedahnews.com secara eksklusif memaklumkan bahawa beliau sedang meneliti profile beberapa pemain import dari negara-negara Asia seperti Australia, Uzbekistan dan Korea Selatan.

 "Kita memang sedang cari sekarang ni.

"Awal Disember ini mungkin mereka akan datang, kita kena tengok pemain itu sama ada dia ada kontrak, kelab sudah lepaskan dia atau belum, atau dia datang dan boleh tandatangan kontrak, boleh juga jadi begitu.

"Kita akan cari dari 2 - 3 negara juga, Australia, Uzbekistan.. dalam masa yang sama mungkin Korea," ujar beliau.

Pengendali pasukan Lang Merah yang bertanggunjawab membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Darul Aman buat kali ke-5 untuk menjelaskan tentang kemungkinan pihaknya yang tidak akan menyambung kontrak dua pemain import, Bang Seung Hwan dan Smeltz Edward Shane.

Cheng Hoe turut memaklumkan bahawa pemain import baru Kedah nanti adalah untuk memenuhi kuota pemain import dari negara Asia. - Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com