EKSKLUSIF: Minyak Masak Buatan Malaysia Dijual RM4.80 Di Pekan Danok


ALOR SETAR - Minyak masak buatan Malaysia untuk 1 kilogram di sekitar pekan Danok, Thailand, dijual pada harga yang jauh lebih tinggi berbanding di dalam negara di antara RM4.50 hingga RM4.80 sekilogram.

Tinjauan Kedahnews.com di enam buah kedai runcit di sekitar pekan tersebut petang tadi, hampir semua kedai berkenaan menjual minyak masak buatan Malaysia di premis mereka, namun sudah kehabisan stok sejak 5 hari lalu.

"Minyak paket (bungkus) yang mai dari sana dah habis, yang ni ada...

"Kami pun dah 5 hari dah takdak stok (minyak masak buatan Malaysia)," kata pekerja di salah sebuah kedai runcit berkenaan sambil menunjuk ke arah minyak masak buatan Thai.

Pekerja tersebut yang fasih berbahasa Melayu menjelaskan rata-rata kedai di sekitar pekan Danok memang ada menjual minyak masak buatan Malaysia ekoran beberapa warga Malaysia yang menetap di sana kurang gemar menggunakan minyak masak buatan Thai.

"Lagipun minyak masak hat Malaysia punya tu murah sikit, kami jual dengan harga RM4.50 ja sebungkus (1 kg)," jelasnya.

Meninjau di sekitar pekan tersebut, didapati bahawa harga minyak masak harga minyak masak buatan Thai dijual pada harga RM5.60 hingga RM5.90, mengikut beberapa jenama tertentu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini meminta pihak berkuasa yang menjaga sempadan negara untuk memantau lebih teliti terhadap aktiviti penyeludupan minyak masak dari Malaysia ke negara jiran.

Semalam, Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake) meninjau di beberapa pasar raya di sekitar Alor Setar mendapati premis-premis tersebut kekurangan stok dipercayai kerana disorok oleh peniaga yang cuba memgambil kesempatan untuk mengaut keuntungan.

Namun begitu, minyak masak yang dijual di dalam botol seberat 3kg masih lagi dijual dengan harga RM9, botol seberat 5kg (RM13.35) manakala minyak masak yang dijual di dalam paket 1kg berharga RM2.50.

Natrah Mat, 42, yang tinggal di Guar Chempedak semalam mendakwa bekalan minyak masak di kedai runcit dan pasar raya di kawasannya telah habis dijual dalam tempoh yang singkat.

"Bekalan minyak masak banyak yang habis dijual, jadi saya datang ke sini (Alor Setar) untuk membeli tetapi saya lihat bekalan di sini juga hampir habis walaupun masih awal," katanya. -Kedahnews.com


No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com