EKSKLUSIF: Kedah Intai Pemain Import Dari Australia, Uzbekistan, Korea Selatan


ALOR SETAR - Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sedang mengintai beberapa pemain bola sepak dari luar negara yang dilihat mampu memperkukuhkan lagi barisan pertahanan pasukan Skuad Lang Merah pada musim hadapan.

Ketua Jurulatih skuad Hijau Kuning, Tan Cheng Hoe menjelaskan bahawa beliau sedang meneliti beberapa profile pemain yang akan dijemput menjalani ujian dan latihan pra-musim pada awal Disember ini.

Kata beliau, pemain import yang sedang diperhatikan adalah dari negara-negara Asia seperti Australia, Uzbekistan dan Korea Selatan.

"Kita memang sedang cari sekarang ni.

"Awal Disember ini mungkin mereka akan datang, kita kena tengok pemain itu sama ada dia ada kontrak, kelab sudah lepaskan dia atau belum, atau dia datang dan boleh tandatangan kontrak, boleh juga jadi begitu.

"Kita akan cari dari 2 - 3 negara juga, Australia, Uzbekistan.. dalam masa yang sama mungkin Korea," kata Cheng Hoe ketika dihubungi Kedahnews.com, di sini, hari ini.

Difahamkan KFA memerlukan pemain import baru bagi menggantikan pemain pertahanan, Bang Seung Wan, yang difahamkan kontraknya akan tamat pada penghujung tahun ini bagi memenuhi kuota import dari negara Asia.

"Untuk pengganti Bang Seung Wan itu kita perlu cari pemain Asia, guna kuota Asia," katanya.

Kata Jurulatih yang berjaya membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Darul Aman itu, beliau sedang menganalisa beberapa pemain import yang disenarai pendek, namun ia bergantung pada kesesuaian dan keserasian pemain berkenaan sebelum terpilih menyarung jersi Hijau Kuning.

Difahamkan selain Bang, pemain import dari Australia kelahiran New Zealand, Smeltz Edward Shane juga berkemungkinan tidak akan disambung kontraknya.

Namun begitu, KFA juga dikatakan akan cuba sedaya upaya mengekalkan tonggak pasukan dari Kosovo, Liridon Krasniqi dan penyerang dari Brazil, Thiago Augusto Fernandes untuk terus bersama skuad Lang Merah pada musim berikutnya.

Meskipun desas-desus mengatakan Liridon dikatakan sedang menjadi rebutan dari beberapa pasukan ternama seperti Johor Darul Takzim (JDT) dan Melaka FC yang dikatakan menawarkan tawaran lumayan padanya, Cheng Hoe optimis pemain dari Kosovo itu akan kekal di Kedah.

"Saya pun dengar begitu, tapi sehingga kini kita pun berunding dengan dia (Liridon) tentang kontrak juga... dia belum bagi jawapan lagi

"Dia pun rasa seronok duduk di Kedah, saya rasa kadang-kala pemain kalau kita tawar gaji tinggi tapi dia tak seronok pun 'no point' juga, kena ada kepuasan di kedua-dua pihak, tak boleh sebelah pihak saja," jelasnya mengenai pemain yang popular di kalangan penyokong Hijau Kuning itu.

Prestasi pasukan Kedah pada musim yang berakhir baru-baru ini amat memberangsangkan apabila berjaya menjuarai TM Piala Malaysia 2016 dan menempatkan diri di tangga ketiga Liga Super, di belakang Felda United di tangga kedua dan juara, JDT. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com