ECRL: Strategi Serampang Dua Mata Tingkatkan Ekonomi Terengganu


KUALA TERENGGANU – Pembangunan Projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) yang memperuntukkan perbelanjaan sejumlah RM55 bilion disifatkan sebagai strategi serampang dua mata kerajaan dalam membangunkan lagi ekonomi negeri Terengganu dan meningkatkan taraf hidup rakyatnya.

Projek yang memperuntukkan perbelanjaan sejumlah RM5.5 bilion bagi laluan sepanjang 600 kilometer itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika pembentangan Bajet 2017 pada 20 Okt lalu.

Ia akan menghubungkan Lembah Klang dengan kawasan pantai timur melalui rangkaian perkhidmatan kereta api yang melalui Pelabuhan Klang, ‘Integrated Transport Terminal’ (ITT) Gombak, Bentong, Mentakab, Kuantan, Kemaman, Kerteh, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan berakhir di Tumpat.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Hazman Samsudin berkata dengan wujudnya projek yang bakal dilaksanakan tahun depan itu, ia menyempurnakan pembangunan ekonomi terutama bagi wilayah timur Semenanjung Malaysia.

“Secara umumnya, boleh dikatakan faedah yang bakal diperoleh oleh rakyat negeri Terengganu melalui pembinaan ECRL tidak ubah seperti serampang dua mata, iaitu ia secara langsung dapat meluaskan lagi pasaran produk di negeri ini dan dalam masa yang sama meningkatkan pendapatan rakyat di negeri ini melalui peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata projek ECRL itu membolehkan lebih banyak sumber dan produk keluaran Terengganu dapat disalurkan ke kawasan Lembah Klang yang pesat ekonominya serta mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

“Maksud ‘lebih banyak’ disini merujuk kepada ‘economies of scale’. Dalam erti kata lain, dengan terbinanya laluan kereta api ini, kos pengangkutan barangan dagangan dapat dikurangkan selaras dengan keupayaan kereta api yang boleh mengangkut muatan lebih banyak seterusnya meningkatkan keuntungan,” katanya.


Hazman berkata apabila kos pengangkutan barang lebih rendah, diharapkan harga barangan di pasaran Terengganu juga dapat dikurangkan sekali gus kebajikan dan taraf hidup rakyat Terengganu dapat ditambah baik.

Beliau berkata projek ECRL itu akan dapat menarik minat pelabur dan syarikat swasta untuk beroperasi di Terengganu yang kaya dengan hasil bumi, seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan.

Selaras dengan itu katanya, adalah bertepatan jika kerajaan negeri mula menggandakan minat pelabur dan syarikat swasta melalui polisi-polisi penggalakan syarikat dan pelaburan seperti pemberian taraf perintis dan penyelarasan hari bekerja.

Menyentuh isu hasil bumi, beliau tidak menolak kemungkinan akan wujudnya lebih banyak inovasi produk separa siap dan siap melalui peningkatan penyertaan sektor swasta dan ini berpotensi bagi menjayakan polisi penggantian import.

“Jika ini terjadi, manfaatnya tidak hanya terhad kepada Terenganu sahaja, tetapi di seluruh negara.

“Peluang-peluang sebeginilah yang sangat diharapkan dan dinanti-nantikan oleh rakyat di negeri ini, iaitu peluang pekerjaan dengan pendapatan yang lebih stabil dan seterusnya merancakkan pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

“Ini juga dapat menarik minat golongan muda untuk terus menetap di Terengganu tanpa memikirkan berhijrah ke Lembah Klang yang padat, dan kos sara hidup tinggi bagi mendapatkan pekerjaan,” tambahnya.

Hazman berkata pembinaan laluan kereta api menerusi projek ECRL itu dilihat bertepatan kerana medium pengangkutan lain kurang sesuai dan tidak ekonomi.

“Sebagai contoh, medium pengangkutan udara ternyata lebih mahal untuk kebanyakan produk manakala pengangkutan kapal laut dilihat kurang sesuai kerana pantai timur sering terganggu dengan kehadiran monsun yang selalunya berlaku selama tiga bulan.

“Ini sedikit sebanyak menimbulkan masalah untuk kapal berlabuh dengan selamat. Laluan darat seperti pengangkutan lori pula dilihat sebagai kurang ekonomi berbanding pengangkutan kereta api.

“Jadi, pembinaan laluan kereta api ini dilihat sebagai sangat ideal dan akan memberi banyak manfaat dan peluang kepada negeri Terengganu khususnya,” katanya.

Bagaimanapun katanya, faedah dan manfaat yang bakal diperoleh harus dinilai secara kritis agar projek itu dapat memberi faedah yang optimum terhadap pembangunan ekonomi negeri Terengganu.

“Seperti yang telah dinyatakan, memanglah pembinaan laluan ini dilihat sebagai amat kritikal bagi pembangunan jangka panjang ekonomi pantai timur khususnya negeri Terengganu, tetapi tempoh pulang modal dan faedah yang bakal diterima daripada pelaburan juga harus diambil kira.

“Sebagai kesimpulan, pembinaan ECRL ini dilihat sebagai satu keperluan dengan mengambil kira manfaat yang bakal diperoleh oleh rakyat dan kerajaan negeri Terengganu,” katanya. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com