Econsave Diserbu Jual Minyak Masak Harga Lama


JOHOR BAHRU – Cakap-cakap mengenai penarikan subsidi minyak masak mendorong sesetengah pengguna serbu setiap pusat beli-belah atau kedai runcit hampir setiap hari bagi mendapatkan bahan itu.

Antara pusat membeli belah yang menjadi tumpuan ialah Econsave.

Menurut Pengurus Operasi Econsave, Mas Imran Adam, ini berlaku kerana tidak seperti kedai runcit dan pusat membeli belah lain, pihaknya masih menjual minyak masak bersubsidi mengikut harga lama.

Minyak masak jenis Avena dan Econsave seberat 5kg, misalnya, dijual dengan harga RM13.35; Seri Murni 2kg (RM6.25); Knife botol 1kg (RM3.60); Buruh botol 1 kg (RM3.30) dan Vesawit botol 1kg (RM3.20).

Katanya, terdapat lebih daripada 10 cawangan Econsave di negeri ini, namun serbuan sejak beberapa hari lalu, menyebabkan berlaku kekurangan stok bahan bersubsidi itu.

“Dua tiga hari ini, sudut penjualan minyak masak adalah yang paling sibuk hingga kita terpaksa menghadkan pembelian kepada satu botol bagi setiap orang.

“Sebagai contoh, di Econsave Taman Daya di sini semalam, kita ada stok kira-kira 500 botol minyak masak 5kg pelbagai jenis, sekarang cuma tinggal dua tiga ‘pallet’ (200 botol) minyak masak dan ini mungkin hanya dapat bertahan sehari dua lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas memantau bekalan minyak masak di pusat membeli belah itu di Taman Daya di sini, semalam.

Sementara itu, seorang pengusaha kantin, Zaidon Baharom, 59, berkata, sejak ada dakwaan bahawa subsidi akan ditarik balik, dia terpaksa keluar rumah awal bagi mendapatkan bahan keperluan itu.

Katanya, jika tidak berbuat demikian, dia mungkin mengalami masalah berniaga.

“Setiap hari, pakcik guna kira-kira 10 botol minyak masak seberat 5kg. Kalau tiada minyak, bagaimana hendak memasak?

“Silap-silap hari bulan, syarikat pemberi tender boleh menyaman saya kerana kegagalan menyediakan makanan,” katanya.

Bagi Muhammad Jamikun, 58, pula, dia telah berkunjung ke hampir semua pusat membeli belah sebelum ini namun tidak menemui sebarang bekalan minyak masak bersubsidi seberat 5kg, sehinggalah beliau ke Econsave Taman Dayan di sini. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com