Demo Tolak PAS Sertai Pakatan Harapan Hanya Sia-Sia


KOTA BHARU - Tindakan membantah penyertaan Pas ke dalam Pakatan Harapan hanya perbuatan sia-sia memandangkan tidak pernah timbul pun isu parti itu mahu menyertai pakatan tersebut.

Ketua Penerangan Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, mana-mana pihak sekalipun tidak perlu bimbang kerana Pakatan Harapan akan tetap terus bergerak tanpa penglibatan Pas.

“Membantah penyertaan Pas ke dalam Pakatan Harapan adalah umpama membantah penyertaan pasukan bola sepak Liverpool ke Liga Malaysia.

“Tidak pernah timbul isu pasukan ini berhasrat menyertai Liga Malaysia, tiba-tiba muncul kumpulan yang membantah,” katanya sinis.

Beliau diminta mengulas mengenai satu demonstrasi aman oleh 20 ahli NGO Pakatan Harapan mengenai ‘Tolak Pas dalam Pakatan Harapan’ yang diadakan di pusat berlangsungnya Konvensyen Harapan di IDCC, Shah Alam kelmarin.

Ketua Pemuda Pas negeri itu juga menegaskan, Pas akan memberikan fokus kepada blok ketiga yang telah diisytiharkan sebelum ini.

Malah, persoalan satu lawan satu tiada kaitan dengan Pakatan Harapan, ia boleh terlaksana walaupun tidak dalam bentuk satu bentuk pakatan sebelum ini.

“Justeru, saya menyifatkan kerja membantah penyertaan Pas ke Pakatan Harapan ialah satu kerja sia-sia sahaja.

“Tumpukan pada perkara yang lebih penting daripada sibuk memikirkan perkara yang tidak mendatangkan hasil,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com