Dari Pilihan Raya Hingga Kepada Pertukaran MB, Najib Ada Jawapannya...

Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menuju ke perpustakaan peribadinya di Seri Perdana ketika sesi temubual khas bersama Kumpulan Media Star, Sabtu. RAJA FAISAL HISHAN/The Star
TEMURAMAH eksklusif di antara Perdana Menteri dengan Kumpulan Media Star di Seri Perdana, Putrajaya pada tengah hari Sabtu, 26 November, berlangsung dalam suasana yang relaks dan ceria. Datuk Seri Najib Tun Razak sudah mempunyai dua acara di sebelah pagi tetapi beliau masih kelihatan segar dan bersemangat. Temuramah dengan kami adalah acara yang ketiga buatnya. Beliau mempunyai dua lagi acara yang perlu diselesaikan selepas itu.

Beliau muncul dengan wajah yang tersenyum di muka pintu perpustakaan peribadinya di mana penulis, Ketua Pengarang Datuk Leanne Goh, Pengarang Bersekutu, Joceline Tan dan Wartawan Kanan, Razak Ahmad sedang menunggu.

Sambil berjabat tangan dan bertanya khabar, Najib kemudian berjalan menuju ke anak tangga menuju ke lantai perpustakaannya yang dipenuhi dengan buku tentang strategi dan sejarah ketenteraan dan peperangan. Antara yang mencuri perhatian kami ialah buku tentang strategi dan pemikiran Jeneral George S. Patton - Jeneral Amerika yang esentrik ketika Perang Dunia Kedua dan dipopularkan oleh filem Hollywood. Terdapat juga buku tentang Lautan Biru.

Melihat kami memerhatinya, Najib lantas berkata; "Saya adalah pengkaji dan peminat sejarah dan strategi ketenteraan. Perpustakaan saya dipenuhi dengan koleksi buku-buku ini."

Dalam temuramah selama hampir sejam itu, Najib telah menyentuh tentang pelbagai perkara - dari apa yang diamatinya di Persidangan Apec dan hasil lawatan kerja ke China baru-baru ini, sehinggalah kepada hubungan baiknya dengan presiden baru Amerika, Donald Trump. Sudah tentulah, tidak ketinggalan beliau turut diajukan tentang Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad, persiapan Pilihan Raya Umum Ke-14 dan akhir sekali tentang Perhimpunan Agung Umno Selasa ini yang merupakan sebab mengapa temuramah eksklusif ini diadakan.

Berikut adalah intipati daripada temuramah tersebut:

> Mengenai Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Peru:

Saya baru sahaja pulang dari Sidang Kemuncak Apec di Lima, Peru dan apa yang boleh saya rangkumkan ialah persidangan itu lebih mengambil sikap berhati-hati memandangkan kelembapan pertumbuhan ekonomi global dan begitu juga dengan dagangan global.

Apatah lagi terdapatnya kesedaran bahawa tekanan anti globalisasi dan anti dagangan bebas semakin meningkat dan juga terdapatnya pandangan yang berhaluan kanan yang semakin memuncak di negara maju.

Ini ditambah lagi dengan ketidaktentuan berhubung polisi akan datang di bawah pentadbiran baru Amerika Syarikat. Jadi wujud kebimbangan mengenai soal ketidaktentuan itu tetapi dalam konteks Malaysia, kita komited kepada apa yang kita percayai dan juga keperluan kepada mencergaskan semula dan menyatakan semula nilai-nilai asas kepada apa yang Apec pegang iaitu keterbukaan, kolaborasi dan bergerak ke arah kawasan dagangan bebas untuk Asia Pasifik secara keseluruhannya.

Inilah misi jangka panjang Apec dan matlamat untuk wilayah Asia Pasifik yang mana anggota-anggota Apec harus pertahankan dan bukannya meninggalkannya, tidak kira apa yang terjadi sekali pun. Tetapi dengan perkembangan terbaru ini, terdapat dua cara untuk melakukannya - sama ada kita memilih untuk terlibat dengan Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) atau pun Trans Pacific Partnership (TPP).

Jika TPP tidak dapat dilaksanakan, maka RCEP perlu dibawa ke hadapan, lagi cepat lagi baik dan pada pandangan saya, secara realistiknya kita bercakap tentang penghujung 2017 untuk melaksanakannya.

Demi masa depan, kita harus mengetengahkan dagangan bebas kerana ia berupaya mencipta peluang pekerjaan baru, pelaburan serta mencipta kekayaan baru dan inilah yang diperlukan oleh rantau Asia Pasifik. Dan satu-satunya rantau dengan masa depan yang cerah dan memberansangkan ialah rantau ini.

Asean dan Asia Pasifik adalah enjin pertumbuhan ekonomi global dan saya percaya kita harus mempertahankannya.


> Tentang pertemuannya dengan Presiden Barack Obama dan Presiden China, Xi Jinping di Apec:

Saya menganggap beliau (Obama) sebagai seorang sahabat. Saya mengucapkan tahniah kepadanya di atas sikapnya berhubung polisi ke atas Asia dan hakikat bahawa sepanjang pentadbirannya (selama lapan tahun) beliau telah memberikan perhatian yang khusus kepada sidang puncak Asia Timur dan juga kepada Asia secara keseluruhannya.

Pada sudut itu, beliau telah membawa kepentingan dan peranan Asean ke hadapan di sepanjang kepimpinannya, jadi saya sangat-sangat berterima kasih kepadanya di atas segala daya usahanya itu. Demikianlah intipati perbincangan saya dengan Obama ketika saya bertemu dengannya di Sidang Apec.

Saya juga telah berpeluang untuk bertemu dan berbual dengan Presiden Xi yang malangnya tidak dirakamkan. Ia berkaitan lawatan rasmi saya ke China sebelum itu yang pada pandangan saya sangat bertepatan di tengah-tengah kelembapan ekonomi dunia sekarang. Jadi pelaburan baru yang kita terima dari China adalah apa yang kita perlukan untuk merancakkan semula ekonomi kita.

Pada pandangan saya, China mempunyai ingatan bagaikan "ingatan gajah". Mungkin saya mempunyai sedikit kelebihan sebagai anak Tun Razak dan mereka (China) tidak pernah melupakan apa yang telah dirintis dan peranan yang telah dimainkan oleh Tun Razak dalam memulakan inisiatif hubungan diplomatik dengan China walaupun terdapat tentangan dalaman pada tahun 1974.

Saya hanya mengukuhkan apa yang telah dirintis oleh Tun Razak dengan kepimpinan Kerajaan China dan saya dapati mereka adalah negara sahabat yang boleh dipercayai dan kita tahu akan latarbelakang budaya serta cara fikiran mereka.

Adalah sangat penting, apabila anda berurusan dengan pemimpin sesebuah negara, anda terlebih dahulu memahami budaya dan cara mereka berfikir dan kita harus tahu bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan situasi tertentu tanpa perlu mengorbankan prinsip-prinsip asas yang kita pegang ketika kita berurusan dengan China. Kita telah membentuk hubungan (diplomatik dan dagangan) yang sangat rapat dengan China tetapi kita tidak sama sekali mengadaikan kedaulatan kita sebagai sebuah negara berdaulat dan itu adalah sangat penting untuk kita fahami.

> Tentang keupayaan China untuk muncul sebagai kuasa baru global:

Pada saya ini adalah satu hakikat dan realiti. China akan muncul sebagai kuasa baru ekonomi dunia menjelang 2050 atau mengikut sesetengah analisis jauh lebih awal dari itu.  Ketika saya berada di China, apa yang menariknya yang telah saya amati ialah, betapa ironinya bagi semua negara yang mengamalkan sistem satu parti, boleh melakukan dua perkara penting dan besar.

Pertama, mereka mampu melahirkan pemimpin yang bagus - kerana mereka percaya kepada prinsip meritokrasi di dalam hirarki parti itu sendiri. Dalam perkataan yang lain, anda perlu membuktikan keupayaan memimpin terlebih dahulu dalam mendaki tangga kepimpinan.

Ia tidak sama dengan model yang diamalkan di Korea Utara. Misalnya jika kita kaji balik latarbelakang Presiden Xi Jinping, anda akan dapati, yang beliau bermula dari bawah iaitu sebagai timbalan datuk bandar, kemudian datuk bandar, selepas itu baru menjadi gabenor, sebelum mendaki tangga hirarki partinya dan di dalam setiap langkah yang beliau ambil, dirinya diuji terlebih dahulu.

Oleh hal yang demikian, mereka berupaya memilih yang terbaik daripada yang terbaik sebagai pemimpin masa depan.

Yang keduanya, adalah menarik sekali untuk dilihat bagaimana mereka berupaya melahirkan usahawan-usahawan gergasi - peneraju dan pengubah industri seperti Jack Ma (pengerusi eksekutif Kumpulan Alibaba) atau Wang Jianlin (pengerusi Kumpulan Wanda).

Bagaimana mereka melakukan ini menerusi sistem politik satu parti sehingga berjaya melahirkan begitu ramai usahawan yang berjaya dan menguasai pasaran global?

Bagaimana mereka menjadi sangat kreatif dan berjaya sehingga berupaya untuk melabur sejumlah pelaburan yang besar bukan sahaja di negara mereka sendiri tetapi juga di luar negara. Ini yang mengujakan saya ketika saya di China. Saya melihat ini sebagai sesuatu yang mencabar pemikiran Barat yang selama ini menjuarai kepercayaan bahawa untuk berjaya, untuk menjadi inovatif dan kreatif kita mesti membenarkan individualisma, tidak terlalu mengawal malah sebaliknya membenarkan kebebasan untuk berkembang. Namun, China membuktikan sebaliknya. Perkembangan di China telah membuatkan mereka sebagai tempat yang paling menarik di muka bumi hari ini dan di sini lah bercambahnya keusahawanan, perniagaan dan juga ekonomi. Pada sudut pandangan saya, tidak ada tempat lain yang boleh dibandingkan dengan China pada hari ini.


> Berhubung pertemuan yang membawa kepada perkenalan dengan Presiden Amerika Syarikat yang baru, Donald Trump:

Ia bermula ketika saya menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) suatu ketika dahulu. Pada hari Ahad semua pemimpin membuat keputusan untuk bermain golf di padang golf kepunyaan Trump. Dan apabila Donald Trump mendengar yang saya akan turun bermain, beliau pun membuat keputusan untuk turut serta dan berpasangan dengan saya. Pada permainan itu kami yang muncul sebagai juara. Kami mengambil gambar bersama dan Trump mengirimkan gambar itu kepada saya. Dan saya kemudiannya meletakkan foto tersebut di sebelah meja saya di pejabat.

Selama dua tahun gambar itu terletak di situ iaitu jauh sebelum beliau bertanding dan menang kerusi presiden Amerika Syarikat. Pada gambar itu ada tertulis; "To my favourite Prime Minister...great win." Dan dia turunkan tanda tangannya pada gambar itu. Ya lepas itu kami ada berbual menerusi telefon sebanyak beberapa kali dan beliau pun kemudian sibuk dengan kempen pilihan raya presiden.  Mungkin selepas ini saya akan berbual kembali dengannya selepas beliau mula bertugas secara rasmi sebagai presiden.

> Tentang keupayaannya bergaul dengan selesa dari golongan atasan seperti pemimpin negara luar, para diplomat sehinggalah ke bawah dengan orang kebanyakan dan masyarakat kampung:

Ya boleh dikatakan menarik kerana saya sendiri dapati yang saya adalah seorang yang cepat menyuaikan diri dengan apa juga situasi dan majlis yang berbeza. Hari ini saya boleh menghadiri persidangan PBB dan bergaul dengan para diplomat dan pemimpin dunia dan esok saya boleh turun ke kampung dan bersila dengan masyarakat kampung. Macam semalam saya berpeluang ke kawasan rumah mesra rakyat dan duduk berbual dengan seorang pemandu lori yang hanya berpendapatan RM2,000 sebulan dan penternak lembu dengan pendapatan RM3,000 sebulan.

Tidak ada apa yang memisahkan antara saya dengan orang kebanyakan.

Alhamdulillah saya sentiasa boleh menyesuaikan diri di mana sahaja saya berada walau dalam majlis apa sekali pun tanpa berasa kekok dan sebagainya. Kalau saya hadir dalam satu majlis kampung di sebuah surau, saya boleh duduk bersila dengan orang ramai dan makan gulai kawah dan kalau saya ke sebuah perkampungan Inggeris saya boleh suaikan diri dengan makan pai. Jadi Alhamdulillah saya boleh dengan mudah menyesuaikan diri dalam apa juga keadaan tanpa berasa kekok.

Hari ini saya berjabat tangan dengan presiden Barack Obama dan Presiden Xi Jinping. Esok hari saya berjabat tangan dengan pemandu lori. Inilah hakikatnya dan semua ini adalah kerana saya selesa dan boleh menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan dan bukanlah saya melakonkan sesuatu kerana saya terpaksa tetapi hakikat ia adalah tentang diri saya yang sebenarnya.

> Setahun selepas Perhimpunan Agung Umno yang penuh dramatik dan ucapan sensitif:

Memang ia adalah satu proses perjalanan politik yang gamat selepas setahun Perhimpunan Agung Umno yang lalu. Kita harus terima politik ada naik dan turunnya dan saat yang penuh dengan cubaan tetapi kunci kepadanya ialah kita haruslah sentiasa tabah, sabar dan bingkas. Yang penting ialah kita harus tahu bagaimana hendak berhadapan dengan segala cabaran dan dugaan yang kita hadapi dan saya adalah seorang yang optimis. Hidup ini adalah begitu.
 
> Tentang ancaman politik daripada Dr Mahathir dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM):

Satu perkara yang saya pelajari tentang politik ialah anda tidak boleh mengambil mudah akan sesuatu perkara. Ancaman dan tekanan datang dari pelbagai sudut. Akhirnya apa yang perlu saya lakukan ialah mendepaninya dengan cara saya sendiri. Namun begitu saya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada kekuatan Umno. Saya percaya, Umno adalah sebuah parti yang berdaya tahan. Saya juga percaya, Umno adalah sebuah parti yang berpaksikan akar umbi.

Umno juga telah mengharungi segala macam badai, ribut dan taufan. Ketika Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) terkeluar dari Umno, kita semua dapat melihat peralihan dan anjakan. Kita lihat betapa ramai yang ikut bersamanya. Adakah kita menyaksikan anjakan dan peralihan yang sama apabila Pribumi dibentuk?

Tetapi akan ada orang yang tidak puas hati untuk apa jua sebab dan alasan yang akan pergi meninggalkan Umno. Di setiap bahagian akan ada yang berbuat demikian. Mereka ini jika tidak keluar meninggalkan Umno pun akan tetap tidak akan menyokong atas sebab-sebab tertentu. Jadi akhirnya akan terdapat juga sejumlah ahli yang akan pergi meninggalkan kita kerana tidak puas hati. Saya tidak khuatir tentang itu. Saya hanya ingin memastikan yang Umno terus fokus kepada kekuatan mereka. Tugas kita ialah untuk memberi khidmat dan menunaikan tanggungjawab kepada rakyat.


> Kebimbangan tentang ancaman PPBM turut dibangkitkan pada Konvensyen Umno Johor baru-baru ini:

Pada saya, kebimbangan seperti itu akan tetap ada dan muncul apatah lagi kerana Umno itu sendiri dilahirkan di Johor. Tradisi Umno sangat kuat di Johor. Oleh kerana itu, pada pandangan saya, akhirnya mereka (Umno Johor) akan dapat lepasi cabaran ini, dan mempunyai kepercayaan diri yang kuat. Johor akan terus kekal sebagai benteng kuat Umno.

> Tentang hubungan terkini Dr Mahathir-Anwar dan berkongsi pentas dengan DAP dan Lim Kit Siang:

Apakah anda rasa ia adalah kerana mereka saling suka menyukai? Apakah anda merasakan Kit Siang suka kepada Mahathir? Ramai yang menyifatkannya sebagai teladan yang unggul politik Machiavellian. Sesetengah akan berkata ini adalah kemuncak kepada segala hipokrasi. Dan sesetengahnya pula akan menyifatkannya sebagai "musuh kepada musuh adalah kawan anda".

Persahabatan politik tanpa ada kepercayaan dan kejujuran tidak akan bertahan lama. Jika ia merupakan satu hubungan yang tidak berpaksikan moraliti politik, saya tidak fikir ia akan bertahan mengharungi masa. Ia hanya soal "bila akan berlaku" dan bukannya "andai kata berlaku".

> Perbezaan di antara kerjasama antara Pembangkang dengan Barisan Nasional serta komponennya:

Barisan Nasional (BN) berbeza dengan pembangkang. Ini jelas. Kami percaya kepada persahabatan yang berpaksikan kepada saling percaya mempercayai dan dengan asas itulah kami membangunkan negara ini. Kami berpegang kepada prinsip bertolak ansur, kami pastikan prinsip ini diamalkan, dan dengan mengenali satu sama lain kami cuba untuk mengharmonikan keadaan. Hasilnya adalah satu perkongsian yang lebih tulin, dan inilah apa yang diperlukan oleh negara. Ia tidak boleh diasaskan kepada sesuatu yang lebih rendah dari itu.

Untuk memperjudikan nasib dengan menyerahkan kepercayaan kepada sesuatu yang belum pernah teruji dan kepada sesuatu yang dibina berasaskan kepada kerjasama tanpa saling percaya mempercayai dan tolak ansur sama seperti meletakkan negara kita kepada masa depan yang penuh dengan risiko. Ini adalah sesuatu yang negara ini tidak boleh perjudikan.

Pada akhirnya, saya percaya rakyat akan dapat melihat sendiri bagaimana kerjasama pembangkang ini disfungsi - mereka menukar identiti dari Barisan Alternatif kepada Pakatan Rakyat dan kemudian Pakatan Harapan. Mereka menyingkirkan PAS dan menerima PAN (Parti Amanah Negara). Mereka tidak dapat memutuskan siapakah yang patut menjadi perdana menteri dan mereka tidak pun boleh dan mampu membentuk kabinet bayangan.

Saya sendiri pernah menjadi menteri besar. Terdapat perbezaan yang sangat ketara di antara mentadbir negeri dengan menguruskan sebuah negara. Ketika saya menjadi menteri pula, saya dapat melihat terdapat perbezaan yang ketara ketika saya menjadi seorang menteri dengan ketika saya menjadi timbalan perdana menteri. Dan begitu juga perbezaan ketika saya menjadi timbalan perdana menteri dan perdana menteri.

Kamu mungkin dilihat berjaya menerajui sebuah negeri tetapi untuk mentadbir sebuah negara dengan cabarannya yang kompleks - dari Perlis sehingga ke Sabah - sebenarnya adalah merupakan satu bentuk urusan yang berbeza sama sekali. Dan kita tidak mampu untuk melakukan kesilapan di sini kerana jika kita tersilap kesannya sangat besar kepada seluruh negara.

> Tentang perasaannya secara peribadi berhubung kesan perpisahan Datuk Seri Shafie Apdal dan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada pasukannya:

Pada satu sudut, ya kerana mereka berdua bersama-sama saya meningkat di dalam hirarki parti lebih-lebih lagi apabila saya yang bertanggungjawab meletakkan mereka pada kedudukan yang mereka capai dalam parti dan kerajaan. Tetapi akhirnya saya telah menerima hakikat bahawa di dalam politik akan ada pengkhianatan...akan ada. Tidak ada perjalanan politik tanpa pengkhianatan malah di Amerika Syarikat politiknya sangat brutal dan penuh dengan drama dan ada kalanya dipenuhi dengan kata-kata kasar.

Tidak ada kata-kata berbunga yang kita dengar sepanjang tempoh kempen pemilihan presiden Amerika baru-baru ini. Di sini pun sama.

> Berhubung perasaan sekarang berbanding setahun yang lalu:

Saya berasa lebih tenang sekarang. Ini kerana saya mempunyai pasukan yang bagus. Saya mempunyai timbalan yang bagus iaitu Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan begitu juga dengan Hisham (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) dan juga barisan pasukan saya yang lain. Semuanya di bawah satu misi yang sama dan bekerja sebagai satu pasukan. Ini bagus kerana rakyat dapat menyaksikan yang Umno memiliki satu pasukan yang padu dan tidak berpecah belah. Ini tidak bermakna sama sekali yang kami tidak bercanggah pendapat. Ada kalanya perbincangan kami sangat keras tetapi sebaik sahaja satu keputusan dicapai kami akan berpegang kepadanya sebagai satu pasukan.

Inilah yang sepatutnya berlaku kerana jika seseorang itu hilang kepercayaan kepada kepimpinan anda, orang itu tidak sepatutnya berada di dalam pasukan yang sama. Apa yang telah berlaku ini lebih mengukuhkan kepimpinan Umno berbanding setahun yang lalu.

> Ditanya tentang sama ada Umno perlu menimbang meminda perlembagaannya bagi memasukkan klausa yang secara spesifik mewujudkan jawatan 'Pemangku Timbalan Presiden':

Fokus sekarang sudah tentulah lebih kepada pilihan raya umum. Soal meminda perlembagaan parti ini akan tetap dipertimbangkan selepas itu. Yang jauh lebih penting sekarang ialah persiapan menghadapi pilihan raya. Pindaan kepada perlembagaan parti haruslah dibuat dengan mengambil kira ia akan membawa perubahan yang positif kepada parti.

Saya percaya bukan soal pindaan kepada perkara yang dibangkit itu (jawatan pemangku) sahaja yang perlu dilihat sebaliknya pengalaman lain dari pelbagai sudut seperti soal pemilihan dalam parti - keburukan dan kebaikan sistem pemilihan yang lalu - semua ini harus dilihat secara menyeluruh. Kita tidak boleh dari semasa ke semasa meminda perlembagaan hanya kerana kita merasakan ia satu keperluan. Jadi kita harus melihat dari sudut yang pelbagai dan memindanya secara menyeluruh jika ada keperluan untuk berbuat demikian.


> Tentang faktor-faktor yang akan menentukan bilakah pilihan raya umum bakal diadakan:

Dengan situasi semasa ekonomi hari ini, saya perlu nyatakan ia adalah satu cabaran yang besar untuk kita adakan (pilihan raya) sekarang. Tahun depan pun saya rasa sama (sambil ketawa besar). Selepas itu, pada pandangan saya, harga minyak mentah global akan naik sedikit mungkin sekitar ASS$60 atau AS$70 setong. Mungkin ini paras yang agak selesa untuk industri minyak kita.

Sebaik sahaja negara memperolehi pendapatan tambahan hasil daripada penjualan minyak mentah, kita boleh melaksanakan beberapa program yang lebih bermanfaat kepada rakyat dan rakyat akan berasa lebih selesa dan lega. Namun sebelum ini semua tercapai, Kerajaan akan terus cuba membuka lebih banyak peluang baru. Sebagai contoh dengan membawa pelaburan baru dari China, seperti projek pembinaan landasan kereta api Pantai Timur. Projek ini akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat, juga peluang kepada kontraktor tempatan untuk turut serta mengambil bahagian yang sekaligus merancakkan aktiviti ekonomi dalam negara.

Saya selesa dengan keadaan sekarang. Jadi biarlah orang membuat spekulasi tentang tarikh pilihan raya.

> Tentang spekulasi yang beberapa menteri besar akan ditukar selepas Perhimpunan Agung Umno nanti:

Saya tidak boleh katakan "tidak" dan juga "ya" bahawa pertukaran ini akan berlaku sebelum atau selepas PRU-14 atau sebaliknya . Pada saya, biarlah saya terbuka kepada beberapa opsyen. Saya tidak mahu terikat dengan hanya satu opsyen sahaja. Yang penting ialah, apa juga opsyen yang diambil adalah untuk kebaikkan sesebuah negeri itu. 

> Apakah Polisi Transformasi Nasional 2050 (TN50) merupakan visinya tentang Malaysia  dalam tiga dekad yang akan datang:

Ia adalah visi nasional. Jika ia adalah visi saya ia hanya akan datang dari saya semata-mata tetapi sebaliknya saya mahukan visi ini datang dari bawah. Saya tidak melakukannya sepertimana Wawasan 2020. Sudah tentulah perincian terakhir akan dilakukan oleh kerajaan kemudian tetapi input itu saya harap melibatkan semua pihak terutamanya generasi muda kerana visi ini adalah untuk mereka. Malah idea tentang perlu diwujudkan Majlis Perundingan Kebangsaan 2 atau National Consultative Council 2, saya percaya semua orang boleh menyatakan pendapat dan pandangan mereka namun biarlah ia dilakukan dalam lingkungan TN50 dan ini akan menjadi visi untuk 30 tahun akan datang.

> Berhubung pemilihan Khairy Jamaluddin untuk menerajui proses dialog TN50:

Ini kerana beliau menawarkan diri secara sukarela untuk memulakannya dengan kumpulan belia dan muda atas kapasitinya sebagai menteri Belia dan Sukan. Lagi pula generasi muda adalah pemegang taruh kepada masa depan negara jadi kita memerlukan seseorang untuk memulakannya.

Khairy adalah pilihan yang ideal kerana beliau juga merupakan ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dan Ketua Pemuda Barisan. Namun pada akhirnya pelaksanaan TN50 ini akan tetap di bawah saya secara langsung apabila kita bersedia untuk merencanakannya selepas menimba pandangan daripada kumpulan belia, muda, wanita, warga emas, sektor korporat, sektor awam, badan bukan kerajaan, masyarakat madani dan semula lapisan masyarakat yang lain. Saya mahu seramai mungkin mengambil bahagian dalam TN50 agar ia menjadi satu visi yang dimilik oleh semua orang.

> Mesejnya kepada para perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno:

Saya mahu rakyat melihat ini adalah Umno yang bersatu. Saya mahu melihat semangat ahli Umno yang tinggi dan penuh dengan motivasi. Saya mahu melihat ahli-ahli Umno memiliki kepercayaan diri yang tinggi, yang kita boleh mencapai kejayaan. Tetapi pada masa yang sama saya mahu melihat ahli-ahli Umno supaya mengawal diri dan merendah diri walaupun UMNO adalah parti yang berkuasa. Kunci utama Umno dan ahli-ahli Umno ialah berkhidmat kepada rakyat. Dan jika itu dapat dilakukan, rakyat akan tetap percaya dan yakin kepada Umno dan juga Barisan.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com