"Dalam Waktu Yang Sama Dia Dok Katok Kita" - PAS Kedah


ALOR SETAR - PAS Kedah mempersoal "cara jemputan" yang dibuat kepada PAS untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan sedangkan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) begitu konsisten melemparkan tohmahan dan menghentam PAS selama ini.

Ketua Pemuda PAS Kedah, Mohd Azam Abdul Samat berkata, sikap Pakatan Harapan yang diketuai DAP itu mencerminkan budaya tidak matang yang diamalkan oleh mereka.

"Macam mana dalam waktu yang sama dia bawa keluar tangan (untuk bekerjasama), dalam waktu yang sama dia dok katok kita.

"Ini merupakan satu budaya yang tak matang dalam berpolitik," katanya ketika ditemubual Kedahnews.com di sini, hari ini.

Tegas Mohd Azam, pendirian PAS untuk tidak mengendahkan "pujuk rayu" untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan selama ini adalah berpunca dari sejarah PAS ketika menjalin hubungan dengan DAP sebelum ini.

Katanya, DAP telah menggangu "rumah tangga" PAS pada muktamar parti itu yang lalu menyebabkan pepecahan besar berlaku di dalam PAS sehingga "melahirkan" sebuah parti baru yang merujuk kepada PAN.

"Sejarah pimpinan kita yang dah lama.. kita pernah beberapa kali pertahankan kerjasama dengan DAP, jadi pada muktamar yang sebelum ini yang ada pemilihan nampak campur tangan kepimpinan DAP dalam rumahtangga PAS.

"Hinggakan yang (DAP) Sarawak putuskan hubungan dengan PAS, yang DAP Pusat tak kata apa (ketika itu). Kemudian DAP Pusat pula ambil tindakan untuk putuskan hubungan dengan Presiden PAS.

"Ini merupakan satu campur tangan dalam PAS, kita sebagai sebuah organisasi parti. Mungkin sebab itulah kepimpinan kita mengeluarkan kenyataan yang sedemikian," kata beliau ketika ditemubual Kedahnews.com di sidang Dun Kedah, di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Mohd Azam turut membidas bekas-bekas ahli PAS yang menyertai PAN dan kemudian menjadikan kepimpinan PAS sebagai sasaran serangan politik mereka.

"Tapi kita tegaskan bahawa kita PAS ni kita lama dalam politik tanahair. Kita sebenarnya bila pimpinan kita pun sebut apa yang telah dilakukan DAP itu masuk campur tangan dalam PAS.

"Sama juga dengan parti satu lagi yang baru itu pun, hari ini pun kita lihat tohmahan-tohmahan semua kepada pimpinan PAS," ujar Adun Sungai Limau itu lagi.

Beliau diminta mengulas mengenai pendirian PAS yang menolak jemputan Pakatan Harapan untuk menjalin kerjasama menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com