Dadah: Datuk Bandar Filipina Kedua Mati Ditembak Dalam Tahanan

Espinosa mati ditembak di penjara ketika polis menggeledah sel selepas mendapat maklumat ada pihak menyeludup senjata api.
MANILA - Datuk Bandar Albuerta yang kini dipenjara selepas didakwa Presiden Filipina, Rodrigo Duterte terlibat dalam pengedaran dadah mati ditembak ketika dalam tahanan pada Sabtu.

Rolando Espinosa yang bertugas di tengah Pulau Leyte adalah pegawai kanan tempatan kedua dibunuh kerana pembabitannya dalam aktiviti dadah.

Espinosa dipenjara selepas menyerah diri kerana bimbang dengan keselamatan diri dan keluarganya.

Dalam kejadian tembak menembak itu, Espinosa telah bertindak menembak anggota polis yang sedang menggeledah penjara bagi mencari senjata api yang dipercayai diseludup ke dalam sel.

“Beliau melepaskan tembakan ke arah anggota polis yang sedang menggeledah. Mereka kemudian membalas tembakan dan menyebabkan kematian datuk bandar itu,” kata Ketua Inspektor Wilayah, Leo Laraga.

Polis bagaimanapun masih menyiasat bagaimana datuk bandar berkenaan memperoleh senjata api berkenaan ketika berada di dalam penjara.

Sejak menang dalam pilihan raya Mei lalu, Duterte, 71,  telah berjanji akan membunuh berpuluh-puluh ribu penjenayah untuk menghalang Filipina daripada menjadi sebuah negara dadah.

Beliau kemudian melancarkan perang ke atas dadah secara besar-besaran menyebabkan lebih 4,000 orang terkorban.

Duterte telah menyenaraikan beberapa nama pegawai kerajaan tempatan, anggota polis termasuk hakim yang terlibat dalam pengedaran dadah menyebabkan beliau menggesa mereka supaya menyerah diri.

Baru-baru ini, Datuk Bandar Saudi Ampatuan, Samsudin Dimaukom yang turut tersenarai antara pegawai kanan kerajaan yang terlibat dalam pengedaran dadah mati ditembak pasukan khas polis Filipina.

Turut terkorban dalam operasi itu adalah sembilan pengawal peribadi datuk bandar berkenaan.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com