Curi 5 Cadbury, 40 Tobleron: Peniaga Dihukum Penjara 4 Hari, RM800

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Seorang peniaga dihukum penjara empat hari dan denda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas dia mengaku bersalah mencuri lebih 40 coklat di sebuah pasar raya, kelmarin.

Majistret Adira Adnan menjatuhi hukuman itu terhadap Shaiful Razmi Roslan, 28, kerana mencuri lima keping coklat Cadburry dan 40 kotak coklat Toblerone yang kesemuanya bernilai RM295.50 milik pasar raya Aeon di Quill Mall, Jalan Sultan Ismail di sini pada 4 petang, 6 Nov lepas.

Dia didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya boleh dihukum penjara dan denda atau sebat.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara 14 hari jika dia gagal membayar denda.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda dikurangkan atas alasan dia penanggung tunggal keluarga dan telah menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Farith Muhd Faizal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com