Cincin Bertatah Berlian RM85,000 Untuk Pemain, Pengurusan JDT


BERITA baik untuk pemain dan pengurusan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila bakal menerima hadiah cincin khas bernilai RM85,000 atas kejayaan memenangi Liga Super Malaysia tiga tahun berturut-turut.

Dalam kenyataan menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers, cincin emas dan platinum yang bertatahkan berlian dan batu nilam itu akan diberikan kepada pemain dan kakitangan pasukan tersebut sebagai tanda kenangan.

“Ini adalah reka bentuk cincin emas dan platinum bertatahkan berlian dan batu nilam berharga RM85,000 setiap satu yang akan diberikan kepada para pemain, kakitangan dan staf JDT atas kejayaan kelab menjuarai Liga Super Malaysia buat kali ketiga berturut-turut.

“Ia merupakan satu kenangan tanda kejayaan mereka yang merupakan sebahagian sejarah hebat yang telah dilakar oleh kelab Harimau Selatan. Luaskan Kuasamu Johor,” katanya dalam kenyataan itu.


Sementara itu, Johor Southern Tigers menerusi kenyataan di ruangan komen turut menjelaskan kelab berkenaan akan mengeluarkan replika cincin khas untuk penyokong mereka dengan harga mampu milik.

“Untuk makluman semua, JDT akan mengeluarkan replika cincin khas tersebut untuk penyokong JDT. Harga belum ditentukan tapi pastinya ia mampu milik untuk dijadikan kenangan,” katanya.

JDT mengekalkan kejuaraan Liga Super musim ini apabila memenanginya pada 2014 dan 2015. –Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com