Cikgu Det Berang Ada Pihak Cuba "Ganggu" Perjalanan SPM


KUALA LUMPUR - Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberi amaran kepada mana-mana pihak atau individu yang cuba menyebarkan maklumat palsu sehingga mengganggu kelancaran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata, perbuatan sangat tidak bertanggungjawab itu boleh mengganggu emosi ibu bapa dan keluarga pelajar yang sedang menduduki peperiksaan itu.

"Pada saya viral ini sangat tidak adil dan tidak bertanggungjawab.

"Saya minta jangan buat sesuatu yang boleh mengganggu emosi pelajar, keluarga, ibu bapa dan masyarakat sebab peperiksaan sedang berjalan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge 2016 di sini, Khamis.

Beliau mengulas mengenai maklumat palsu yang viral di media sosial pada Rabu, kononnya Kertas 1 dan Kertas 2 SPM bagi subjek Sejarah perlu diambil semula oleh pelajar pada Disember ini kerana soalan-soalan asalnya telah bocor.

Mahdzir yang kesal dengan perkara itu berkata beliau telah mengarahkan Lembaga Peperiksaan Malaysia membuat laporan polis dan siasatan juga akan dibuat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com