Cerita Tentang Kejuaraan Lumba Kerbau Di Bali


Beberapa kerbau yang memakai hiasan kepala dan tanduk berwarna-warni berlari laju menarik pedati di kawasan sawah padi di Bali, Indonesia sambil pelumba di atasnya memukul cemati dengan harapan dapat muncul juara.

Beratus-ratus penonton memberi sorakan dan berharap pasukan pilihan mereka muncul juara dalam festival tahunan berkenaan.

Lumba kerbau atau dikenali sebagai Makepung membabitkan dua komuniti petani di daerah Jembrana yang bersaing sesama mereka dalam tradisi bagi menyambut musim menuai padi.


Bagaimanapun, perlumbaan yang diadakan setiap tahun sejak berdekad lalu mula hilang popularitinya.

Pelumba tetap kini terdiri daripada golongan tua dan hanya segelintir orang muda yang menyertai sukan tradisi berkenaan.

Kebanyakan generasi muda cenderung meninggalkan kampung halaman mereka untuk melanjutkan pelajaran atau mencari pekerjaan di bandar.


Golongan muda yang tinggal pula lebih berminat bermain permainan video berbanding perlumbaan kerbau yang lasak.

Beberapa pelumba tua ada yang terbunuh akibat terjatuh dari pedati ketika sedang berlumba.

Ketua pelancongan Jembrana, Komang Hendra berkata, kekurangan peserta menyebabkan ada pasukan yang terpaksa mengupah pelumba.

Hadiah yang ditawarkan setiap kali perlumbaan Makepung adalah Rp25 juta (RM7,763) dan ia biasanya dibahagikan sesama pasukan yang menang yang terdiri hingga 200 ahli.

Namun, nilai haiwan yang memenangi perlumbaan itu bakal melonjak dan ada yang pernah mencecah nilai Rp175 juta (RM54,313).

Tradisi Makepung bermula pada 1960-an apabila dua komuniti petani di kedua-dua belah sungai Ijo Gading bersaing ketika mengusahakan tanah mereka termasuk berlumba kerbau.

Bermula untuk berseronok, persaingan itu bertukar menjadi pertandingan sengit dan setiap tahun kedua-dua komuniti mempersiapkan pasukan masing-masing.

Musim perlumbaan berlangsung dari Julai hingga November dengan perlumbaan yang membabitkan 300 ekor kerbau berlangsung setiap dua minggu.

Kumpulan dari Barat Ijo Gading memakai baju hijau dan pedati mereka turut dihiasi bendera dengan warna yang sama.

Pasukan dari Timur Ijo Gading pula memilih warna merah.


Hari perlumbaan biasanya berlangsung selama lima jam dengan beberapa pedati yang ditarik kerbau berlumba di litar tanah sejauh kira-kira 1,500 meter.

Bagi kebanyakan penduduk di daerah itu, hadiah wang tunai hanyalah satu bonus dan sasaran utama mereka adalah kemasyhuran.

“Perkara yang paling penting bukanlah memenangi hadiah wang tunai tetapi kebanggaan dan kemasyhuran apabila memenangi Makepung,” kata Komang. - Agensi

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com