Campur Tangan Kuasa Asing Jejas Kedaulatan Negara


KUALA LUMPUR - Campur tangan kuasa asing terhadap pembiayaan dana parti politik di negara ini tidak boleh dibiarkan agar kedaulatan negara tidak terancam, kata Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata isu berkenaan amat serius kerana pemberian dana asing kepada organasisi tempatan boleh menaikkan atau menjatuhkan kepimpinan negara.

"Kalau dibiarkan berlaku tanpa 'check', bukan saja ada campur tangan asing terhadap politik dalam negara, tetapi ada 'elemen of subversion' sama ada dana itu datang secara sah dan tidak.

"Ini adalah satu daripada sebab kenapa Umno dan Barisan Nasional mahukan adasatu undang-undang. Masalahnya sekarang kalau benar-benar ia berlaku, apakah ada undang-undang untuk mengawalnya?" katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Biro Penerangan Umno di sini semalam.

Annuar mengulas laporan media semalam mengenai sebuah badan asing dipengerusikan jutawan George Soros didakwa membiayai beberapa organisasi tempatan dalam programnya bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya umum akan datang.

Annuar menegaskan kes seumpama ini memperkuatkan lagi keperluan untuk menggubal undang-undang bagi mengawal selia dana politik, walaupun terdapat bantahan daripada pihak pembangkang.

Dalam pada itu beliau berkata Umno setakat ini belum lagi membincangkan isuanggota Parlimen Tambun Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, juga bekas Menteri Kewangan II, yang dikatakan mendedahkan rahsia kerajaan ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

"Sejak Husni berucap di Parlimen, saya ada jumpa Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dalam pelbagai hal, tiada pula PM bangkit.

"Saya ada jumpa setiausaha agung (Umno)(Datuk Seri Tengku Adnan TengkuMansor) tak ada pun setiausaha bangkit.

Saya ada jumpa kawan-kawan jawatan kuasa biro politik pun tiada dibangkit. Tetapi esok lusa saya tak tahu," katanya.

Sesi merekod keterangan Ahmad Husni (berhubung ucapannya di Parlimen) di Bukit Aman yang sepatutnya berlangsung semalam, ditangguh ke minggu depan. - Bernama

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com